Pemimpin besar PH berjuang di kubu kuat PAS


Bede Hong Thor Kah Hoong

Dr Mahathir bersama Lim Kit Siang dan nama besar lain dalam Pakatan Harapan berucap pada ceramah "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi" di Shah Alam malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Julai, 2017.

“PEMIMPIN besar” Pakatan Harapan (PH) malam ini berada di Shah Alam yang tradisinya menjadi kubu kuat PAS untuk mencuba dan menyampaikan mesej kleptokrasi kerajaan kepada rakyat.

Namun, biarpun PH memperkenalkan barisan baru kepimpinan mereka selepas pengumuman mengenai gandingan di antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, tiada sesiapa yang mengetahui tentang ceramah “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” pada malam ini.

Tetapi sebaik saja diberitahu Dr Mahathir akan berkongsi pentas dengan Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Tony Pua, Khalid Samad, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu, ada yang menunjukkan minat.

Khairul Azam, 35, berkata beliau mendapati pakatan Anwar-Mahathir akan menjadi satu pengalaman baru.

“Pelik untuk melihat Dr Mahathir bersama dengan pembangkang sekarang. Dia perlu bekerja keras untuk memenangi semula kepercayaan penyokong PH,” kata bapa kepada tiga anak perempuan itu.

Khairul yang kini menganggur berkata, beliau tidak menyalahkan Kerajaan atas kelembapan ekonomi, dengan mengatakan ia disebabkan faktor global.

Mengenai implikasi tuntutan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan dengan  1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau berkata, “Kami tidak pasti siapa yang bersalah. Mereka yang berkuasa, mereka boleh sentiasa buat macam-macam. Kecuali jika kerajaan Amerika Syarikat (AS) menamakan mereka yang bertanggungjawab, selagi itu akan ada kekeliruan. “

Mohammad Hamdan, 32 berkata beliau mengagumi Dr Mahathir ketika dia masih muda tetapi menyalahkan mantan perdana menteri itu atas masalah yang dihadapi negara sekarang.

“Ketika saya bersekolah, saya selalu mengikuti semua program berita. Sekarang saya tidak mahu mengenali dia, saya pernah memuja dia dan saya fikir saya mahu berjumpa dengannya. Sekarang saya tidak berminat untuk bersalam dengannya.”

Mohammad yang bekerja sebagai juruteknik berkata rasuah di negara hari ini berpunca daripada pentadbiran Dr Mahathir.

“Dr Mahathir membenarkan ia membiak, Umno mungkin melakukan kebaikan, tetapi itu bukan alasan atas semua perkara yang berlaku sekarang. Perkara-perkara yang salah di negara ini, dibenarkan membarah ketika pemerintahan Dr Mahathir.”

Mohammad juga tidak mempunyai keyakinan terhadap janji atau kepimpinan Dr Mahathir dalam PH.

“Dia terlalu tua. Saya fikir pertunangan politik (persekutuan politik) tidak akan berlaku.”

Mohammad berkata beliau menyedari skandal 1MDB, tetapi masih tidak pasti tentang kebenaran dakwaan itu, baik daripada pembangkang mahu pun kerajaan asing.

“Sekiranya terdapat bukti yang cukup, kenapa tidak ada kerajaan yang bertindak? Saya tahu terdapat berbilion-bilion yang hilang, tetapi bagi kita orang biasa,apa yang kami boleh lakukan ialah mencari nafkah. Perkara yang lebih besar dan isu yang melibatkan kerajaan, kami tidak boleh kawal. “

Seorang peniaga seni dan kraf, Azahari Cik Din berusia 60 tahun berkata para pengundi boleh membezakan kebenaran.

“Saya seorang ahli perniagaan yang sepanjang masa berurusan dengan berlainan orang dengan pandangan mereka yang berbeza. Orang di sini terbuka, sama ada dengan PAS atau Umno. Mereka bersedia untuk mendengar.”

“Mahathir mempunyai hak untuk menyuarakan pandangannya jika dia merasakan dia mempunyai sesuatu untuk dikatakan,” katanya.

Razman, 42 yang bekerja sebagai penyelia pasar raya besar berkata, beliau tidak tahu Dr Mahathir akan berucap tetapi berkata beliau akan hadir bersama rakan-rakan.

Semasa ditanya bagaimana perasaan beliau tentang gandingan Dr Mahathir dengan Anwar, Razman menjawab, “Itu tidak begitu penting.

“Perkara yang paling penting adalah untuk menghapuskan kerajaan pemerintah. Terdapat terlalu banyak skandal rasuah yang berkaitan dengannya.

“Itu harus menjadi misi utama. Yang lain-lain menjadi jatuh nombor dua.”

Razman berkata beliau boleh menerima Dr Mahathir sebagai ketua pembangkang.

“Mahathir dan Anwar menjadi sekutu sekali lagi ... itulah politik. Hari ini kamu bermusuh, esoknya kamu boleh menjadi sekutu.” – 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen