23 cedera kerana lahar bom gunung berapi Hawaii


Gambar bot dengan bumbung berlubang selepas diselaputi lahar daripada gunung berapi Kilauea di Hawaii hingga menyebabkan 23 pelancong cedera. – Gambar AFP, 17 Julai, 2018.

TOMPOKAN gunung berapi Kilauea di Hawaii terkena sebuah bot yang membawa kumpulan pelancong menyaksikan letusan lahar berusia dua bulan itu, menyebabkan 23 orang cedera, kata jabatan bomba.

Kaki seorang wanita patah apabila bom lahar yang melantun keluar dari air dengan tekanan tinggi ketika batuan cair jatuh ke dalam laut, terkena bumbung bot dan menembusi bahagian tempat duduk, kata Ketua Batalion Jabatan Bomba Hawaii, Darwin Okinaka.

Okinaka berkata bot itu kemudiannya kembali ke pelabuhan di Hilo dengan tiga mangsa cedera dibawa ke hospital tempatan menaiki ambulans.

Katanya, sembilan atau 10 penumpang lain yang cedera ringan dibawa ke hospital menggunakan kenderaan persendirian manakala 10 lain dirawat paramedik di pelabuhan, katanya.

Seorang jurucakap pertahanan awam, Kelly Wooten menganggarkan 23 mangsa yang cedera.

Jabatan Tanah dan Sumber Semula Jadi Hawaii (DLNR) berkata, bot itu dikendalikan Lava Ocean Tours, satu daripada sekurang-kurangnya tiga syarikat yang menawarkan lawatan harian kepada penumpang dengan bayaran AS$220 (RM887) seorang untuk menyaksikan aliran lahar ke laut dari dalam bot.

Pegawai syarikat bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas.

Seorang jurucakap datuk bandar Hawaii, Janet Snyder memberitahu akhbar Tribune Herald: “Kejadian itu berpunca daripada letupan. Ia menyebabkan lubang terbentuk di atas bumbung bot,” katanya yang berkata bot itu diselaputi lahar. – AFP, 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen