INSIDEN pesawat terhempas yang mengorbankan 112 nyawa di Cuba pada 18 Mei disebabkan kesilapan manusia, kata syarikat Mexico yang memiliki jet tersebut pada Isnin.
Global Air, yang operasinya digantung oleh pihak berkuasa Mexico berhubung kemalangan itu, berkata kajian oleh pakar-pakar antarabangsa terhadap kotak hitam Boeing 737 mendapati “take-off” dilakukan juruterbang terlalu curam.
“Data mendedahkan kru berlepas pada sudut pendakian yang sangat ketara, mewujudkan kekurangan daya yang mengakibatkan pesawat terhempas,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Twitter.
Firma kecil, yang ditubuhkan pada 1990, berkata ia “menganggap bertanggungjawab kepada mangsa kemalangan tragis ini.”
Bekas kakitangan syarikat penerbangan itu menuduh ia menggunakan pesawat yang uzur, gagal melakukan penyelenggaraan dan membahayakan nyawa dengan melakukan penerbangan malam tanpa radar.
Bagaimanapun, syarikat itu mengatakan dakwaan sedemikian dibuat oleh pekerja yang tidak puas hati, dan meminta lesen operasinya dikembalikan semula.
Pesawat berusia 39 tahun itu lulus pemeriksaan oleh pihak berkuasa penerbangan Mexico pada November 2017.
Global Air menyewanya, dengan anak kapal, kepada Cubana de Aviacion untuk penerbangan domestik dari Havana ke bandar Holguin timur.
Menurut saksi, ia terjunam ketika ia membuat pusingan pertama selepas berlepas, terhempas ke ladang kentang di luar ibu kota.
Hanya seorang terselamat dalam kemalangan itu.
Global Air berkata pasukannya sendiri mengambil bahagian dalam menganalisis kotak hitam, bersama-sama pakar dari pihak berkuasa penerbangan Cuba, Mexico dan AS daripada Boeing dan pembuat enjin Pratt & Whitney. – AFP, 17 Julai, 2018.
Komen