Ukraine mahu Russia bertanggungjawab tembak jatuh MH17


Serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 dipamerkan semasa pembentangan laporan akhir mengenai punca nahasnya di pangkalan udara Gilze Rijen pada 13 Oktober 2015. - Gambar fail AFP, 17 Julai 2017.

PRESIDEN Ukraine Petro Poroshenko hari ini menegaskan Rusia mesti dipertanggungjawabkan kerana menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan 298 nyawa.

Penyiasat antarabangsa mengatakan pesawat Boeing yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 oleh sebuah sistem peluru berpandu Buk yang dibawa dari Rusia dan ditembak dari wilayah yang dikuasai pemberontak yang disokong Moscow.

Siasatan yang diketuai Belanda - yang mana majoriti mangsa adalah rakyatnya- memberi tumpuan kepada kira-kira 100 orang yang disyaki memainkan “peranan aktif” dalam insiden ini, tetapi penyiasat tidak menamakan mana-mana suspek secara terbuka.

Barat dan Kiev menegaskan semua bukti menunjukkan kepada pemberontak dan Moscow.

Rusia dan pihak berkuasa separatis yang menyokongnya bagaimanapun terus menafikan sebarang penglibatan dan berusaha berulang-kali untuk meletakkan kesalahan ke atas Ukraine.

“Ia adalah satu jenayah yang jelas boleh dielakkan jika bukan kerana pencerobohan Rusia, sistem dan peluru berpandu Rusia yang berasal dari wilayah Rusia,” tulis Poroshenko di Facebook.

Pihak berkuasa pada bulan ini mengumumkan percubaan mana-mana suspek yang ditangkap atas penembakan MH17 akan diadakan di Belanda.

Negara-negara yang mengetuai penyiasatan bersama - Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine - bersetuju bahawa sebarang perbicaraan akan dilakukan mengikut sistem perundangan Belanda.

Poroshenko berkata dia “yakin objektif dan kesaksamaan daripada jabatan kehakiman Belanda akan menyelesaikan kes ini.”

“Ini adalah tugas bersama kami dalam mengenang mereka yang terbunuh tepat tiga tahun lalu oleh peluru berpandu Rusia,” tulisnya.

Tiada acara rasmi yang dirancang untuk menandakan ulang tahun ketiga di Kiev  tetapi penduduk tempatan dijangka berkumpul untuk upacara keagamaan kecil di lokasi kemalangan di wilayah pemberontak. –  AFP, 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen