Lupakan jadi negara maju kalau tidak mahu kereta nasional kedua, kata Dr Mahathir


Malaysia boleh saja melupakan cita-cita hendak jadi negara maju kalau tidak mahu menjayakan idea menghasilkan kereta nasional kedua selepas projek pertama Proton dikatakan gagal, kata Dr Mahathir Mohamad.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2018.

MALAYSIA boleh saja melupakan cita-cita hendak jadi negara maju kalau tidak mahu menjayakan idea menghasilkan kereta nasional kedua selepas projek pertama Proton dikatakan gagal, kata Dr Mahathir Mohamad.

Kalau tidak jadi negara maju termasuk mewujudkan industri automotifnya sendiri, biarlah saja Malaysia jadi “negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan”, kata Perdana Menteri.

“Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat.

“Lupakanlah sahaja Wawasan 2020,” tulis Dr Mahathir di blognya.

Dalam tulisan yang sarat dengan nada kecewa itu, Dr Mahathir dilihat membidas kelompok yang mengkritik cadangan beliau supaya Malaysia sekali lagi menceburi bidang pembuatan kereta menghasilkan kereta nasional yang kedua.

Semasa lawatan ke Jepun bulan lepas, Dr Mahathir sekali lagi menyuarakan hasrat mahu Malaysia membuat satu lagi kereta nasional selepas Proton yang beliau mulakan pada tahun-tahun awal jadi perdana menteri pada dekad 1980-an diswastakan dan kemudian dijual kepentingannya kepada syarikat dari China.

Hasrat itu sebelumnya pernah beliau suarakan lebih setahun sebelum pilihan raya umum ke-14 dalam sebuah forum di Kuala Lumpur. Dr Mahathir yang memimpin Pakatan Harapan ketika itu berkata, beliau akan memulakan “sebuah lagi projek Proton” kalau menang pilihan raya.

Dalam lawatannya ke Indonesia akhir bulan lepas, Dr Mahathir membayangkan kemungkinan menghidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran Asean, idea yang disambut baik Presiden republik itu Joko Widodo.

Dalam tulisan di blognya Dr Mahathir menjelaskan sedikit sebanyak kenapa projek kereta nasional kedua itu penting iaitu untuk menghidupkan ekonomi dan membangunkan kejuruteraan.

Katanya, negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang pernah dikecam membuat kereta kononnya dari “tin Milo” hari ini melahirkan kereta jenama yang dihormati seperti Toyota, Nissan, Suzuki.

“Masa berlalu dan keluaran kereta Jepun dan Korea semakin baik. Demikian di pasaran hilang kereta Austin, Morris dan lain-lain dari Eropah.

“Tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya,” katanya.

Oleh sebab ada pihak yang tidak mahu projek kereta nasional kedua ini berjaya, mereka ini akan menghalang apa saja usaha untuk melaksanakan projek itu, kata Dr Mahathir.

Kesannya, rakyat Malaysia akan terus bergantung pada kereta import sementara negara yang mempunyai industri automotif ekonominya akan terus meningkat maju seiring dengan industri kejuruteraannya yang juga membantu industri kejuruteraan yang lain.– 16 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Although I have switched UK citizenship but Tun M remains the ultimate idol, inspirational & leader of the most respected leaders. There has been a lot of criticisms and defamation that have been thrown against Tun but we can see how much of the achievement has been under Tun's leadership to Malaysia. Various successes that Malaysia achieved in terms of industrial economics, development, education & communications technology that sparked Malaysia's name in the international arena. Tun also has proven Malaysia's ability to the world when it became the first country to solve the economic crisis without asking or borrowing funds from agencies owned by the Jews. I always give full support to Tun's leadership as one of the greatest leaders in the world.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Muhammad Ridzal · Ulasan