DALAM satu kes yang mengejutkan masyarakat sekeliling, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun telah ditahan polis kerana disyaki membunuh seorang wanita dan dua anaknya.
Ini susulan penemuan mayat wanita berusia 48 tahun, kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dan remaja perempuan berusia 15 tahun di kediaman mereka di pinggir bandar Ellenbrook yang terletak di Perth, ibu negeri Australia Barat, pada Ahad.
Memetik kenyataan polis pada Isnin, agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa mayat wanita itu dan anak lelakinya telah ditemui di dalam rumah mereka manakala remaja perempuan terbabit, yang cedera parah, ditemui di halaman belakang.
Gadis sunti itu telah dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, kata polis dalam satu kenyataan.
Menurut agensi berita itu, seorang detektif homisid yang berada di lokasi kejadian berkata insiden tersebut mungkin jenayah paling dahsyat pernah disaksikannya.
Polis dilaporkan telah mengambil sebilah gunting besar dari lokasi kejadian.
Penolong Pesuruhjaya Polis Negeri, Paul Steel, memberitahu pemberita bahawa insiden itu telah memeranjatkan penduduk di seluruh komuniti tersebut.
Suspek, yang juga tinggal di kejiranan itu, dijangka hadir di mahkamah pada Isnin, kata polis. – Bernama, 16 Julai, 2018.
Komen