Angka kematian meningkat akibat banjir di India


Arunachal Pradesh dan Assam di timur laut India merupakan kawasan yang paling teruk terjejas. – Gambar EPA, 17 Julai, 2017.

ANGKA kematian akibat banjir di India meningkat kepada sekurang-kurangnya 76 orang, kata pihak berkuasa negara itu pada Isnin, di mana lapan orang terbunuh sejak semalam.

Hujan lebat berterusan di Gujarat meragut 11 nyawa pada Sabtu selepas musim hujan berterusan di seluruh bahagian barat negeri itu.

“Tujuh kematian dilaporkan sepanjang tempoh 24 jam yang lepas dan empat orang lagi dilaporkan hilang, kata pegawai kerajaan Pankaj Kumar kepada AFP.

Arunachal Pradesh dan Assam di timur laut India merupakan kawasan yang paling teruk terjejas manakala di bahagian barat negeri Odisha dan Bihar juga dilaporkan terbabit.

Di kawasan berbukit di Assam mencatatkan 60 kematian dan operasi menyelamat kini giat dijalankan sejak awal permulaan musim hujan pada April.

“Seorang maut sejak 24 jam lalu. Ribuan lagi masih diselamatkan dan ditempatkan di 118 kem penempatan sementara yang didirikan kerajaan di 21 kawasan terjejas,” kata pegawai kanan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana, Rajib Prakash Barua.

Hujan bagaimanapun dilaporkan reda di beberapa negeri namun paras air di lima sungai utama masih berada di paras bahaya, tambahnya.

Pasukan penyelamat turut menghantar bekalan makanan seperti rumput kepada haiwan yang terkandas di kawasan terjejas di Taman Negara Kazranga, Assam, yang menjadi habitat kepada badak sumbu dan spesis haiwan lain.

Bekalan elektrik, jalan kereta api serta jalan raya juga dilaporkan terjejas di lima negeri akibat bencana itu.

Sebahagian daripada Arunachal Pradesh mengalami banjir teruk dan tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu ekoran daripada kadar penurunan hujan yang tinggi.

Sekurang-kurangnya lima maut dalam kejadian tanah runtuh sejak minggu lalu di kawasan perkampungan terpencil sepanjang sempadan China.

Kerajaan turut mengerahkan pasukan tentera untuk menghulurkan bantuan dan menjalankan operasi menyelamat di sebahagian daripada kawasan yang terjejas teruk.  – AFP, 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen