SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa menasihati Khairy Jamaluddin agar berpada-pada dalam mengeluarkan kenyataan, sambil mengingatkan beliau bahawa tiada ahli yang boleh melangkaui parti.
Annuar berkata presidennya Ahmad Zahid Hamidi berusaha sebaik mungkin untuk meletakkan Khairy dalam barisan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN), namun ditolak.
“Ada orang kata macam dia (Khairy) ditinggalkan, tetapi pengumuman barisan pentadbiran baharu presiden yang dibuat pada Sabtu asalnya ingin dibuat lebih awal, tetapi dilewatkan kerana presiden memujuk Khairy untuk menjadi pegawai parti.
“Dia (Khairy) ditawarkan setiausaha Barisan Nasional tapi dia tolak, presiden tidak berputus asa, tawarkan jawatan ketua penerangan… pada Jumaat dia minta tangguh sehari, kita tangguh semua pengumuman kerana kita mahu Khairy jadi pimpinan kanan parti.
“Saya terlibat sehari sebelum itu, presiden hantar wakil pujuk dan jumpa malam Jumaat dan pada pagi Sabtu sampai pukul 10 pagi minta Khairy bantu sebagai ketua penerangan tapi dia tak mahu.
“Kita kena ‘move on’... tiada satu individu (ahli) lebih besar daripada parti,” kata Annuar pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Tambah ahli Parlimen Ketereh itu, Ahmad Zahid juga mengambil idea Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk dilaksanakan walaupun kedua-duanya tewas dalam pemilihan baru-baru ini.
“Saya harap berpada-padalah kalau nak tunjuk sikap,” kata Annuar lagi.
Khairy mencuri perhatian hari ini, apabila tidak meninggalkan Dewan Rakyat walaupun majoriti wakil rakyat pembangkang berbuat demikian sebagai membantah proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.
Sebelum ini, melalui akaun twitter miliknya, ahli Parlimen Rembau itu turut mengkritik pentadbiran Umno yang dilihatnya masih memainkan sentimen perkauman.– 16 Julai, 2018.
Komen