UMNO akan bermesyuarat esok untuk memutuskan nama calon dan logo yang digunakan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa turut mengesahkan bahawa empat nama calon diterima daripada Umno Selangor untuk dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan parti itu petang esok.
“Jawatankuasa pengurusan akan bermesyuarat malam esok. Kita terima nama daripada Umno Selangor dan akan bincang malam esok dan dibawa kepada presiden.
“Setakat ini belum ada keputusan mengenai calon dan syor tertentu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno, petang tadi.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandangnya Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.– 16 Julai, 2018.
Komen