Umno pilih Pandikar ganti Apandi dalam MT


Mohd Farhan Darwis

UMNO mengambil keputusan meletakkan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia sebagai ahli Majlis Tertinggi parti itu menggantikan Mohamed Apandi Ali yang menolak jawatan itu selepas bersetuju menerimanya.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, keputusan itu diambil dengan mengambil kira pengalaman luas yang dimiliki Pandikar terutamanya dalam bidang perundangan.

“Setelah mendapat tawaran secara rasmi, beliau (Apandi) mengubah fikiran, presiden (Ahmad Zahid Hamidi) ada bercakap dengan beliau, pada awalnya beliau fikir boleh bersetuju, kemudian setelah pengumuman dibuat, atas sebab tertentu beliau berpendapat elok beliau tidak menerima pelantikan.

“Jadi oleh kerana beliau tidak menerima tawaran itu, presiden telah bersetuju untuk melantik Pandikar untuk mengganti tempat yang dulunya dicadangkan kepada Apandi,” kata Annuar dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pandikar juga katanya menyatakan persetujuan bagi menjawat jawatan tersebut.

“Dengan mengambil kira faktor Pandikar mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangan terutama sekali dalam hal ehwal yang berkaitan dengan tatacara persidangan Dewan Rakyat, Dewan Negara, ini akan beri manfaat kepada kita,” kata Annuar lagi.

Apandi sebelum ini menolak pelantikannya kerana merasakan jawatan tersebut “tidak wajar” beliau terima.

Beliau berkata, khuatir pelantikan itu akan dikaitkan dengan tindakan dan keputusannya sebelum ini semasa jadi hakim dan peguam negara.

“Setelah berfikir semasak-masaknya, dan dengan mendalam, saya berasa adalah tidak wajar untuk menerima pelantikan sebagai Ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno.

“Apa yang bermain di fikiran saya adalah pelantikan tersebut akan diselubungi dengan pelbagai persepsi negatif yang mungkin dikaitkan dengan apa jua tindakan dan keputusan saya semasa menjalankan tugas sebagai seorang hakim dan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelantikan Apandi adalah antara 11 lantikan baru ke dalam Majlis Tertinggi Umno selepas pemilihan parti pada 30 Jun lepas memilih 25 ahli badan pengurusan parti itu.

Pelantikan Apandi itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif termasuk dalam kalangan pemimpin Umno, misalnya Ketua Pemuda Umno Kedah, Hazizy Zainol Abidin yang menyifatkan parti Melayu itu masih belum belajar daripada kekalahan dalam pilihan raya umum yang lepas.

Annuar, yang juga ahli Parlimen Ketereh turut mengumumkan perubahan kepimpinan Umno di Sabah.

Jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah yang sebelum ini diberikan kepada Salleh Said Keruak telah diberikan kepada Ketua Umno Bahagian Tuaran, Hajiji Noor selepas Salleh mencadangkan jawatan berkenaan seharusnya disandang dari kalangan wakil rakyat.

Annuar berkata, Presiden Ahmad Zahid Hamidi juga bersetuju melantik Salleh sebagai ahli MT Umno. – 16 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen