Tak ikut protes, tapi Umno tak boleh salahkan KJ


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin tidak tahu keputusan mengadakan protes tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Julai, 2018.

SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa berkata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak boleh dipersalahkan walaupun tidak menyertai protes ke atas pelantikan speaker Dewan Rakyat hari ini.

Annuar berkata Khairy tetap mengikuti persidangan dan tidak menyertai ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan kerana tidak tahu keputusan mengadakan protes tersebut.

Jelas Annuar, protes berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) malam tadi yang turut tidak dihadiri Khairy.

“Saya belum sampai peringkat nak salahkan Khairy… Malam tadi mesyuarat MT pun dia tak datang.

“Malam tadi orang PAS pun datang, Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin Hassan) datang. Mungkin dia (Khairy) hendak tengok bola, bukankah dia peminat bola?,” kata Annuar kepada pemberita.

Oleh itu, tiada tindakan akan diambil terhadap Khairy berhubung tindakannya tidak menyertai protes pembangkang, kata ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

“Tiada apa-apa keputusan mengenainya (tindakan ke atas Khairy). Kita bincang dengan PAS. Kalau tidak diberi peluang untuk bercakap dalam Dewan kita akan bercakap kepada media.

“Ahli-ahli Parlimen diminta bersama. Hampir semua keluar kecuali Khairy, kita tak boikot Parlimen, hanya agenda itu (pelantikan speaker) sahaja.

“Jadi setakat ini tidak berbangkit (tindakan terhadap Khairy),” kata Annuar lagi.

Hampir kesemua ahli Parlimen pembangkang meninggalkan sidang Dewan Rakyat sebagai membantah proses lantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusuf.

Sewaktu protes itu berlangsung, Khairy kekal di kerusinya walaupun majoriti ahli Parlimen lain meninggalkan persidangan.

Annuar turut menjelaskan bahawa pembangkang bersetuju dengan pelantikan Mohamad Ariff, namun membantah cara dan proses lantikan yang tidak mematuhi peraturan Dewan.

“Kita setuju nak sokong Mohamad Ariff jadi speaker tapi pelantikannya mesti ikut peraturan, kita bukan boikot sidang,” kata Annuar lagi.

Beliau mendakwa, kerajaan tidak mematuhi peraturan Parlimen untuk memaklumkan nama Speaker dalam tempoh 14 hari.

“Bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia sendiri beritahu saya minggu lepas beliau bertanya kepada setiausaha Parlimen, dan dia kata nama belum dapat diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan membangkitkan kenyataan menteri hal ehwal undang-undang, Liew Vui Keong dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Liew pada Sabtu lalu, Pakatan Harapan mengemukakan nama calon Speaker pada 2 Julai, namun Wan Azizah Wan dilaporkan berkata mesyuarat untuk menentukan calon tersebut hanya dibuat pada 8 Julai.

“Sampai semlam mereka tak namakan Speaker. Pelantikan Speaker tidak boleh jadi rahsia. Notis 14 hari kena diberikan. Mana mungkin notis diberikan 2 haribulan kalau 7 dan 8 haribulan masih belum diputuskan,” tambahnya lagi. – 16 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen