Tentera Australia diberikan lebih kuasa berdepan serangan pengganas


Pasukan polis kini tidak perlu menunggu lama sebelum boleh memanggil pihak tentera dalam serangan pengganas, antara perubahan yang dilakukan Australia. – Gambar AFP, 17 Julai, 2017.

TENTERA Australia akan diberikan kuasa yang lebih untuk bertindak semasa serangan pengganas, kata perdana menteri hari ini selepas semakan tindak balas pasukan keselamatan kepada kejadian tempatan dan antarabangsa.

Antara perubahan yang akan dilakukan, polis tidak perlu menunggu sehingga kehabisan tenaga manusia untuk memanggil tentera semasa serangan pengganas, dan pasukan khas akan diwujudkan dalam agensi penguatkuasaan untuk penyelarasan yang lebih baik, kata Malcolm Turnbull.

Pihak tentera juga akan memberikan latihan khas kepada pasukan polis.

Walaupun pihak polis tidak didapati bersalah semasa rampasan kafe di Sydney pada 2014 yang menyebabkan dua tahanan dan seorang penyerang terbunuh, inkues mendapati pihak berkuasa silap menilai ancaman yang diberikan penyerang dan mencadangkang beberapa semakan semula dalam prosedur.

Baru-baru ini Turnbull melawat tempat kejadian serangan pengganas di London Bridge dan pasar Borough di Britain pada 3 Jun.

Dia melihat tindak balas pantas pasukan keselamatan dalam kejadian itu yang membunuh lapan orang termasuk dua rakyat Australia.

“Sangat penting untuk polis yang menjadi barisan depan pertahanan untuk meningkatkan kemahiran dan latihan supaya mampu menangani kejadian seperti itu serta merta,” katanya.

Polis akan kekal menjadi pasukan keselamatan yang pertama tiba di tempat kejadian tetapi kini mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak tentera, katanya lagi.– AFP, 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen