SEJUMLAH 459 kanak-kanak warga Honduras yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka susulan polisi “toleransi sifar” imigresen Washington kini dikenal pasti, kata pegawai yang menyaksikan peningkatan berbanding angka sebelum ini.
Angka terkini itu dikeluarkan oleh kementerian luar negara tersebut selepas kerajaan berkata pegawai konsular di Amerika Syarikat telah mengenal pasti sejumlah 313 kanak-kanak warga Honduras ketika melawat pusat perlindungan susulan keputusan Presiden Donald Trump untuk mengakhiri pemisahan anggota keluarga.
Menurut kenyataan kementerian luar, jumlah ibu bapa yang telah ditahan dan dipisahkan daripada anak-anak mereka berjumlah 289 orang.
Katanya, kementerian itu telah menghantar satu nota kepada Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kirstjen Nielsen, untuk mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat (AS) kerana menamatkan polisi itu dan dengan segera mencari senarai rasmi keluarga yang terpisah.
Kerajaan AS telah dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa kerana telah memisahkan beribu-ribu keluarga secara paksa, kebanyakan mereka berasal dari Amerika Tengah dan mencari suaka susulan keganasan di negara asal.
Kritikan itu telah menyebabkan Trump menggantung langkah pemisahan itu, yang diarah dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran beliau untuk menghalang migran menyeberangi sempadan Mexico secara haram. – Bernama, 16 Julai, 2018.
Komen