Korea Selatan tawar rundingan dengan Korea Utara untuk redakan ketegangan


KOREA Selatan pada Isnin menawarkan rundingan ketenteraan dengan Utara, menyasarkan untuk meredakan ketegangan selepas Pyongyang menguji peluru berpandu balistik antara benua pertamanya.

Tawaran merupakan yang pertama selepas negara itu melantik Presiden Moon Jae-In itu dibuat selepas Persatuan Palang Merah di Seoul mencadangkan perbincangan berasingan untuk menyatukan keluarga yang terpisah berikutan peperangan pada 1950-53.

Kementerian pertahanan Korea Selatan mencadangkan pertemuan itu diadakan pada Jumaat di sempadan perkampungan gencatan senjata Panmunjom, manakala Palang Merah menawarkan perbincangan pada 1 Ogos di lokasi sama.

Sekiranya pertemuan itu berjalan lancar, ia menandakan perbincangan pertama antara Korea Selatan dan Utara sejak Disember 2015.

Pemimpin konservatif terdahulu, Park Geun-Hye enggan enggan terlibat dalam dialog substantif dengan Pyongyang melainkan rejim itu membuat komitmen ketara untuk menghapuskan nuklear.

“Kita adakan cadangan untuk pertemuan…menyasarkan untuk menghentikan semua ancaman membabitkan ketegangan ketenteraan sepanjang sempadan,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan.

Persatuan Palang Merah mengharapkan “maklumbalas positif” wakil dari Utara, dan berharap untuk mengadakan penyatuan keluarga pada awal Oktober depan. Sekiranya ia direalisasikan, ia akan menjadi yang pertama dalam tempoh dua tahun.

Jutaan keluarga terpisah dalam konflik yang memisahkan dua negara itu. Ramai terkorban tanpa berpeluang bertemu semula keluarga mereka di sebalik kawalan sempadan yang ketat, dan komunikasi awam disekat.

Dengan masa berlalu, bilangan itu berkurangan di mana hanya sekitar 60,000 ahli keluarga terpisah masih berada di Selatan.

“Korea utara perlu memberi maklum balas dengan tawaran ikhlas sekiranya mereka benar-benar mahu mencari keamanan di semenanjung Korea,” kata Menteri penyatuan Seoul yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Korea Utara Cho Myoung-Gyon.  – AFP, 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen