Hakim terbabit skandal rasuah Peru dilarang tinggalkan negara


Hakim Cesar Hinostroza sedang disiasat berhubung dakwaan melakukan jenayah ketika melaksanakan tanggungjawabnya. – Gambar Wikipedia, 16 Julai, 2018.


BADAN Kehakiman Peru membenarkan permintaan Peguam Negara Pablo Sanchez, untuk melarang Hakim Cesar Hinostroza yang dibelenggu skandal rasuah meninggalkan negara Inca itu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Agung, Luis Cevallos. Menurut prosedur perundangan, arahan itu dimaklumkan kepada Penguasa Migrasi Nasional dan Polis Nasional Peru.

Peguam negara mengemukakan permintaan itu minggu lepas berhubung siasatan ke atas Hinostroza atas dakwaan melakukan jenayah ketika melaksanakan tanggungjawabnya.

Hinostroza didakwa terbabit dalam satu siri rakaman audio yang disiarkan melalui rancangan TV Panorama dan laman kewartawanan siasatan, IDL – Reporteros.

Dalam perbualan itu, hakim terbabit menawarkan serta menerima manfaat kepada dan daripada anggota Majlis Kebangsaan Majistret (CNM) serta pegawai-pegawai lain.

Menurut pernyataan yang terkandung dalam satu rakaman audio itu, Hinostroza berunding dengan seorang pemanggil tidak diketahui identitinya berhubung hukuman ringan ke atas seorang perogol kanak-kanak.

Presiden Martin Vizcarra menggariskan siasatan kes tersebut perlu dilakukan dengan pantas untuk menghukum individu yang bertanggungjawab atas perlakuan keji dan memalukan itu.

CNM turut membuka kertas siasatan terhadap Hinostroza.

Selain itu, satu usul bagi memecat hakim tersebut dikemukakan kepada Kongres. – AFP, 16 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen