.jpg)
TAHNIAH semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 13 Julai 2017 lalu mencapai kata sepakat serta menzahirkan kesatuan fikiran dan kebulatan tekad untuk mengubah masa depan Malaysia dengan jayanya serta menyusun struktur organisasi PH dengan menggabungkan tokoh kepimpinan dari pelbagai latar belakang dan pengalaman bagi memimpin dan menggerak PH bersama rakyat Malaysia ke hadapan demi masa depan Malaysia dengan agenda perubahan yang jelas.
Sikap tolak ansur dan jiwa besar dalam mengakui kelemahan dan kekurangan serta kelebihan parti masing-masing akan menjadi tunjang kekuatan dengan menggabungkan sumber pengalaman,kepakaran dan kepimpinan yang mampu menyahkan Umno BN dari politik kuasa di Malaysia pada PRU14 nanti.
Saya mengharapkan selepas ini perlu penyelesaian kepada agenda yang lebih konkrit dan terperinci dalam manifesto yang menyentuh reformasi institusi yang benar-benar memberi keadilan dan melindungi negara demi rakyat. PH perlu menggerakkan gelombang baru bagi menghadapi PRU14 kelak. Kesedaran rakyat khususnya bangsa Melayu perlu digerakkan agar minda Melayu tidak tertelan racun perkauman Umno BN.
PH perlu segera didaftarkan bersama dengan lambang PH. Kepimpinan perlu segera menentukan strategi andai PH tidak diluluskan sebelum PRU14. Agenda menghadapi PRU14 dengan satu lambang mesti diteruskan dan PH perlu segera menetapkan lambang rasmi PH yang mana ianya akan digunakan dalam PRU14 nanti.
PH dan parti komponen sewajarnya membawa ‘politik baru’ dalam pengurusan dan pendekatan kepimpinan. Bersedialah dengan lapang dada dan bersikap terbuka dengan kritikan dari ahli bawahan serta menerima perbezaan pandangan dan pendekatan. Harapan rakyat kini hanya kepada PH. Tiada lain yang diharapkan. Jangan kecewakan rakyat.
Saya mengharapkan strategi “tiga penjuru” mesti dipersiapkan untuk menghadapinya.Tidak dapat tidak “tiga penjuru” tidak dapat dielakkan. Saya berkeyakinan jika PH bersiap dari sekarang untuk, insyaAllah PH akan menjadi kuasa baru politik Malaysia pada PRU14 akan datang.
Selamat maju jaya buat Pakatan Harapan. Berpakat demi rakyat. – 17 Julai, 2017.
* Mahfuz Omar adalah Ahli Parlimen Pokok Sena
* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen