SEKURANG-kurangnya 10 orang terbunuh manakala 20 lagi dilaporkan cedera selepas pihak berkuasa pro kerajaan Nicaragua menjalankan operasi di selatan negara itu pada Ahad, kata kumpulan hak asasi manusia.
Mereka yang terbunuh termasuk enam orang awam—dua daripadanya adalah kanak-kanak—dan empat anggota polis, menurut Pertubuhan Hak Asasi Manusia Nicaragua (ANPDH).
Operasi polis dan tentera itu menyasarkan bandar Masaya, komuniti Niquinohomo dan Catarina serta di kejiranan Monimbo.
“Ini adalah laporan awal,” kata ketua ANPDH Alvaro Leiva, dan menambah nama dan umur mangsa yang terbunuh masih dalam siasatan.
“Terdapat penembak tepat yang diletakkan di beberapa bahadian di bandar itu Kami minta penduduk untuk berlindung di kediaman masing-masing,” kata Leiva.
Terdahulu, penduduk dan kumpulan hak asasi mendakwa pihak tentera menggunakan penyodok mekanikal untuk mengalihkan sekatan sekurang-kurangnya di tiga kawasan.
“Mereka akan memusnahkan Masaya, ia telah dikepung,” kata presiden Pusat Hak Asasi Manusia Nicaragua (CENIDH) Vilma Nunez kepada AFP.
“Kami diserang oleh pasukan polis dan separa tentera yang bersenjatakan AK-47 dan mesingan di kejiranan Monimbo,” kata salah seorang penduduk Alvaro Gomez.
“Kami hanya melawan menggunakan bom buatan sendiri dan batu.”
Leiva turut menggesa bantuan daripada Persidangan Episcopal, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Inter-Amerika (IACHR).
Laman web separa rasmi El 19 Digital berkata pasukan keselamatan kerajaan telah “menguasai” bandar Niquinohomo sebagai sebahagian daripada “operasi pembersihan” di beberapa bandar selatan, termasuk Monimbo.
Monimbo menjadi pusat penentangan terhadap kerajaan Presiden Daniel Ortega sejak gelombang bantahan tercetus pada 18 April berhubung pembatalan pembaharuan pelan persaraan.
Sejak itu, keganasan tercetus mengorbankan lebih 270 nyawa, kebanyakannya orang awam, menurut CENIDH. – AFP, 16 Julai, 2018.
Komen