Ribuan penyokong banjiri jalan utama di Paris selepas kemenangan Piala Dunia 2018 


Ribuan penyokong Perancis membanjiri Champs Elysee untuk meraikan pasukan negara mereka yang menjuarai Piala Dunia Rusia 2018.– Gambar EPA, 16 Julai, 2018.

RIBUAN penyokong pasukan Perancis membanjiri bandar-bandar utama di negara itu bagi meraikan kemenangan perlawanan akhir Piala Dunia Rusia 2018 menewaskan Croatia 4-2. 

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka yang membanjiri jalan-jalan utama, menekan hon kereta serta mengibarkan bendera negara mereka.

Sorakan kegembiraan turut memecahkan keheningan pada setiap jaringan yang memberi peluang kepada pasukan itu untuk menjulang trofi yang paling berprestij dunia. 

Walaupun sebelum tiupan wwisel penamat, penyokong mula membanjiri Champ Elysee di tengah kota Paris yang mengulangi pesta sambutan kemenangan yang sama pada 1998.

Dianggarkan lebih sejuta penyokong berkumpul bagi meraikan kemenangan pasukan mereka.

“1998 adalah keajaiban! Malam ini anak saya pula berpeluang untuk merasai pengalaman dan kegembiraan yang sama,” kata Eric Rodenas, 42 kepada AFP yang datang ke ibu negara itu dari selatan Perancis bersama anak lelakinya. 

Ketika malam menjelang, nyanyian dan tarian kemenangan terus berkumandang di Arc de Triomphe yang merupakan salah satu mercu tanda terkenal di Paris dan dimeriahkan lagi dengan kibaran bendera merah, putih dan biru.

Namun dalam kegembiraan itu, angka kemalangan turut mencatatkan peningkatan dan pertembungan penyokong dengan polis, malah berlaku juga kecurian di sebuah premis perniagaan di Champ Elysee. 

Perayaan itu diteruskan pada Isnin apabila pemain skuad Perancis akan berarak di jalan raya utama ibu negara itu diikuti dengan majlis sambutan kemenangan bersama Presiden Emmanuel Macron di Istana Elysee. 

“Tahniah,” tulis presiden itu di Twitter selepas menyaksikan perlawanan akhir yang membawa kemenangan kepada skuad negaranya. – AFP, 16 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen