Keluarga mangsa MH17 dedikasikan memorial peringatan pada ulang tahun ke-3


Pemandangan kawasan yang akan dijadikan memorial peringatan kepada mangsa MH17. – Gambar EPA, 17 Julai, 2017.

TIGA tahun selepas tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh peluru berpandu di kawasan bergolak di Ukraine, lebih 2,000 waris mangsa berkumpul hari ini untuk mengumumkan “memorial peringatan” kepada orang yang tersayang.

Sebanyak 298 pokok ditanam dalam bentuk reben hijau, setiap satunya mewakili mangsa yang meninggal dunia dalam nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Raja Belanda Willem-Alexander dan Permaisuri Maxima akan menyertai kerajaan dan juga pegawai antarabangsa pada upacara itu bagi mendedikasikan taman peringatan Vijhuizen, berhampiran Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam di mana pesawat terbabit berlepas pada 17 Julai, 2014.

Nama 298 penumpang dan anak kapal yang terbunuh dalam tragedi itu akan dibacakan ahli keluarga mereka dan 17 kanak-kanak warga tempatan akan meletakkan bunga sebagai peringatan.

Kebanyakan mangsa adalah warga Belanda, 17 warganegara lain menaiki pesawat itu termasuk Australia, Briton, Malaysia dan Indonesia.

“Pokok yang ditanam itu memberi simbol “harapan” dan “masa depan” bagi kebanyakan budaya,” kata keluarga mangsa dalam satu kenyataan.

“Kita bukan hanya memberi penghormatan kepada mangsa MH17, tetapi membina satu tempat khas di mana semua orang boleh menyimpan memori 298 mangsa ketika mereka masih hidup.”

Menggunakan dana sumbangan, projek berkenaan diilhamkan oleh artis Ronald A. Westerhuis dan arkitek landskap Robbert de Koning selepas pemilihan daripada tiga kertas cadangan oleh ahli keluarga mangsa pada 2015.

‘Tidak akan dilupakan’

Menjelang tahun ketiga tragedi itu, tiada suspek ditahan walaupun pengumuman dibuat pada bulan ini semua perbicaraan akan diadakan di Belanda.

Kira-kira 100 individu dikehendaki berhubung nahas itu, selepas penyiasat Belanda membuat kesimpulan pesawat terbabit ditembak jatuh peluru berpandu BUK buatan Rusia yang dibawa dari Rusia ke kawasan yang dikuasai pemberontak.

Pokok di memorial berkenaan akan dikelilingi bunga matahari, yang berkembang pada Julai, dan ia akan memberikan “sinaran keemasan” kepada pokok berkenaan, kata yayasan tersebut.

Bunga berkenaan turut mewakili “bunga di padang di timur Ukraine di mana beberapa serpihan pesawat terbabit ditemui”.

Setiap pokok berkenaan akan diletakkan nama mangsa. Di tengah hutan pokok berkenaan akan ditanam 11 jenis pokok membentuk seperti mata memandang ke langit.

Salah satu pokok epal yang ditanam mewakili Gary berusia 16 tahun dari Rotterdam, yang mana mayatnya masih tidak dapat dikenal pasti.

“Sangat baik bila fikirkan dia memiliki pokok itu, kerana kita masih belum menerima mayatnya. Kita tidak mahu Gary dilupakan. Kita tidak mahu ada di antara 298 mangsa dilupakan,” kata bapanya Jan Slok kepada akhbar harian AD.

Alis kening buatan besi yang diletakan di atas mata itu memberi makna “kepahitan dengan kehilangan” kata akhbar Touw dan menambah lama kelamaan ia akan berkarat dan membawa makna penderitaan. Nama mangsa juga diukir pada anak mata itu.

“Jika anda melihat ke dalamnya, anda akan dapat lihat diri anda dan nama orang yang anda sayang,” kata Westherhuis kepada Trouw. – AFP, 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen