Ribuan berhimpun bantah penahanan aktivis di Maghribi


Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara Maghribi, Rabat pada Ahad bagi membantah penahanan pemimpin dan aktivis pergerakan protes.– Gambar AFP, 15 Julai, 2018.

RIBUAN penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara Maghribi, Rabat pada Ahad bagi membantah penahanan pemimpin dan aktivis pergerakan protes.

Penunjuk perasaan melaungkan antaranya “Rakyat boikot sistem perundangan!” dan “bebaskan tahanan!”, kata wartawan AFP.

Di bawah pengawasan polis, penunjuk perasaan berarak menuju bangunan Parlimen sambil mengangkat gambar pemimpin pergerakan dan aktivis yang ditahan.

Mahkamah Maghribi pada 26 Jun menjatuhi hukuman penjara antara setahun hingga 20 tahun ke atas 53 ahli Hirak.

Pemimpin pergerakan protes Nasser Zafzafi dan tiga orang lagi dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun atas dakwaan “merancang untuk menjejaskan keselamatan negara”.

Kumpulan Islamis Al Adl Wal Ihsane, yang tidak diiktiraf kerajaan, antara kumpulan yang menyertai protes itu.

Kumpulan itu membawa antara 6,000 hingga 8,000 penyokong, kata pihak berkuasa tempatan.

Antara mereka yang dijatuhi hukuman pada Jun termasuk wartawan Hamid el Mahdaoui yang dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun kerana “gagal mengutuk percubaan untuk membahayakan keselamatan negara” dalam laporannya.

Aktivis terbabit telah memohon rayuan dan Amnesty International menggesa agar keputusan itu dibatalkan.

Protes pada 2016 bermula apabila nelayan Mouhcine Fikri dilanggar sehingga mati oleh lori sampah, semasa cuba mendapatkan semula hasil tangkapan yang dirampas pihak berkuasa kerana melakukan tangkapan di luar musim.– AFP, 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen