Bersatu kini di Labuan


Pengerusi Jawatankuasa Penaja Bersatu, Asroh Sukardi berkata jawatankuasa penaja parti sekarang mempunyai hampir 900 ahli dengan cawangan pertama di Taman Perumahan Mutiara ditubuhkan minggu depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.

SELEPAS Amanah, sebuah lagi parti dari Semenanjung, Bersatu telah mengembangkan sayapnya ke Labuan dengan penubuhan jawatankuasa penaja dan cawangan.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Bersatu, Asroh Sukardi berkata jawatankuasa penaja parti sekarang mempunyai hampir 900 ahli dengan cawangan pertama di Taman Perumahan Mutiara ditubuhkan minggu depan.

“Kami menubuhkan bahagian PPBM (Bersatu) di sini pada 18 Mei, pada mulanya dengan hanya anggota jawatankuasa yang semakin meningkat kepada hampir 900 sekarang,” kata beliau kepada Bernama hari ini.

Barisan Bersatu terdiri daripada Pengerusi Penaja Asroh Sukardi, Timbalan Johari Abidin, Naib Pengerusi 1 Junaidi Amit, Ketua Wanita (Sri Kandi) Norasikin Osman dan Timbalan Amy Azaitul Hidayah Azizi, Ketua Pemuda Mohd Saiful Ridzuan Mohd Nazri, Timbalan Abdul Haadiy Mohd Nazari, Setiausaha Suparman Abdul Aziz, Bendahari Sharifah Nyanggau, Ketua Penerangan Abdul Kadir Karim, Penasihat Bersatu Labuan Abdul Malik Kasim dan 10 ahli jawatankuasa.

Asroh berkata Bersatu akan bekerjasama rapat dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan iaitu Amanah, PKR, DAP dan Warisan di Labuan untuk membangkitkan isu-isu yang melibatkan rakyat kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan.

Bersatu Labuan dijangka dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi oleh pemimpin Bersatu pusat.

Jawatankuasa penaja yang diketuai oleh Asroh juga bertemu Ahli Parlimen Tanjung Piai dari Bersatu yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik hari ini dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad pada Jumaat untuk membincangkan pembangunan politik dan ekonomi Labuan. – Bernama, 15 Julai, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen