PULUHAN ribu orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di barat Kanada hujung minggu lalu ketika angin kencang memarakkan kebakaran yang melanda daerah British Colombia sejak lebih seminggu lalu.
Pihak berkuasa terpaksa mengarahkan lebih 24,000 orang di kawasan itu termasuk di bandar Williams Lake yang mempunyai lebih 11,000 penduduk selepas api semakin marak, lapor CBC.
Lebih 60% penduduk yang terjejas sudah meninggalkan kediaman mereka.
Menteri Pengangkutan British Colombia, Todd Stone memberitahu yang antara 36,000 sehingga 37,000 orang sudah dipindahkan selepas kebakaran hutan yang disebabkan cuaca panas kering itu sehingga menyebabkan darurat diisytiharkan pada 7 Julai.
Ahad lalu, pihak berkuasa tempatan melaporkan sehingga kini terdapat 162 kebakaran hutan yang masih belum dapat dikawal, termasuk 15 kebakaran yang mengancam kawasan penempatan. Hampir 3,000 anggota bomba termasuk 415 yang dihantar dari daerah berhampiran sedang bertarung untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.
Sementara itu sebuah helikopter yang terlibat dalam misi itu terhempas Sabtu lalu dan juruterbangnya masih dirawat dihospital.
Kebakaran Whittier yang bermula pada 8 Julai lalu dan membakar hampir 18,015 ekar sudah membakar 2,000 bangunan dan hanya 36 peratus daripada kebakaran itu dapat dikawal, kata pasukan keselamatan. – AFP, 17 Julai, 2017.
Komen