Kerana WhatsApp, 25 ditahan kerana belasah orang sampai mati di India


WhatsApp menerbitkan iklan tips mencegah berita palsu di India selepas penyebaran berita palsu menerusinya menyebabkan 21 orang terbunuh dibelasah perusuh yang percaya penculik kanak-kanak sedang berkeliaran di kawasan mereka. – Gambar AFP, 15 Julai, 2018.

POLIS India menahan 25 orang pada Ahad selepas seorang lelaki maut dibelasah sekumpulan perusuh hanya kerana syak wasangka penculikan kanak-kanak dicetuskan oleh berita palsu yang tersebar menerusi WhatsApp.

Semua 25 orang itu ditahan berkaitan pembunuhan Mohammad Azam, 27, yang diserang bersama dua rakannya oleh hampir 2,000 orang perusuh di selatan Karnataka, daerah Bidar Jumaat lalu.

Rakan Azam yang cedera parah dalam serangan itu yang berlaku selepas WhatsApp menerbitkan iklan dalam akhbar India menawarkan tips untuk mengekang sebaran berita palsu menerusi aplikasi itu.

Lebih daripada 20 orang dibelasah di India selepas dituduh menculik kanak-kanak sejak dua bulan lepas, menurut laporan media.

Polis berkata Azam dan rakan-rakannya dalam perjalanan pulang ke bandar Hyderabad selepas melawat rakan mereka di Bidar, mereka sedang berhenti rehat dan menawarkan coklat kepada kanak-kanak di kawasan itu.

“Salah seorang daripada mereka membawa coklat dari Qatar dan cuba menawarkan kepada kanak-kanak di situ,” kata Timbalan Ketua Polis Bidar V N Patil kepada AFP.

Tetapi salah seorang kanak-kanak itu menangis menyebabkan orang dewasa di sekitar itu menuduh mereka sebagai penculik kanak-kanak yang dikatakan sedang berkeliaran mencari mangsa berdasarkan berita palsu yang bertiup kencang, kata pegawai.

Pati berkata ketiga-tiga mereka berjaya melarikan diri tetapi diserang perusuh lebih ramai beberapa kilometer dari kawasan itu selepas penduduk kampung menyebarkan berita mengenai mereka menerusi WhatsApp.

Kereta mereka terbalik selepas melanggar sekatan jalan raya yang dibuat khalayak yang marah, sebelum mereka diheret keluar dan dipukul dengan kayu dan batu.

Tiga anggota polis juga cedera selepas cuba menyelamatkan mangsa yang dipukul hampir sejam.

Serangan itu berlaku selepas lima orang dibelasah orang awam di Maharashtra pada 1 Julai lalu.

Orang awam melihat mangsa bercakap dengan kanak-kanak di pasar, mencetuskan dakwaan penculikan kanak-kanak.

Siri kejadian belasah bermula Mei lalu di Jharkhand selepas berita palsu tersebar menerusi WhatsApp tentang penculik kanak-kanak menyebabkan tujuh lelaki dibelasah.

Berita palsu itu kini muncul kembali, dan hampir 21 kematian dilaporkan dalam berpuluh serangan berlaku di seluruh negara yang menyasarkan penduduk luar kawasan.

India menuduh WhatsApp gagal mengekang penyebaran maklumat palsu menerusi platformnya. – AFP, 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen