Kematian rakyat Afghanistan akibat perang catat rekod tertinggi, kata PBB


Jumlah orang awam Afghanistan yang terbunuh dalam konflik berpanjangan negara itu mencatatkan rekod tertinggi dalam enam bulan pertama 2018, dedah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan punca utama kematian adalah disebabkan oleh serangan militan dan pengeboman bunuh diri.– Gambar AFP, 15 Julai, 2018.

JUMLAH orang awam Afghanistan yang terbunuh dalam konflik berpanjangan negara itu mencatatkan rekod tertinggi dalam enam bulan pertama 2018, dedah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan punca utama kematian adalah disebabkan oleh serangan militan dan pengeboman bunuh diri.

Jumlah kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 1,692 orang, atau 1% lebih tinggi daripada tahun lepas, malah tertinggi sejak Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) membuat catatan rekod pada 2009.

3,430 orang lagi cedera dalam peperangan itu, menurun sebanyak 5% peratus dari tempoh yang sama tahun lalu, kata laporan itu.

Jumlah keseluruhan orang awam yang cedera dan mati, iaitu 5,122, menurun 3% dari tahun ke tahun.

Rekod kematian yang tinggi dicatatkan meskipun terdapat genjatan senjata antara tentera keselamatan Afghanistan dan Taliban pada bulan lalu, kata UNAMA.

Genjatan senjata yang berlangsung selama tiga hari pertama perayaan Hari Raya menandakan kejayaan, sekali gus memberikan harapan yang keamanan akhirnya mampu terlaksana selepas lebih 17 tahun bergelumang dalam konflik.

Namun genjatan senjata itu tercemar dengan insiden serangan pengeboman bunuh diri di timur wilayah Nangarhar yang membunuh berbelas-belas orang dan didalangi oleh kumpulan Daesh, yang tidak terlibat dalam perjanjian genjatan senjata tersebut.– AFP, 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen