BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama akan memberi ucaptama pada sambutan ulang tahun ke-100 kelahiran mendiang pemimpin anti apartheid, Nelson Mandela minggu ini.
Mandela, meninggal dunia pada 2013, menjadi ikon antarabangsa atas perjuangan beliau menentang pemerintahan minoriti kulit putih dan mesej perdamaiannya ketika dibebaskan selepas 27 tahun dipenjarakan.
Setiap tahun, tarikh kelahiran Mandela yang jatuh pada 18 Julai diingati di seluruh dunia.
Obama akan berucap di Johannesburg pada 17 Julai ini, yang disebut-sebut akan menjadi ucapan penting sejak meninggalkan Rumah Putih tahun lepas.
“Ini akan memberikan peluang kepada beliau untuk mengangkat mesej toleransi dan demokrasi pada ketika terdapat cabaran yang jelas terhadap warisan Mandela di seluruh dunia,” pembantu Obama, Benjamin Rhodes memberitahu New York Times.
Obama juga akan menganjur acara town hall pada 18 Julai untuk 200 pemimpin muda yang dipilih dari seluruh Afrika untuk menghadiri program latihan selama lima hari.
Bekas presiden AS itu hanya bertemu Mandela sekejap pada 2005 tetapi pada hari pengebumian pemimpin Afrika itu, Obama berkata Mandela membuatkannya mahu menjadi seorang manusia yang lebih baik dan menyifatkan Mandela sebagai “pembebas agung terakhir abad ke-20”. – AFP, 15 Julai, 2018.
Komen