SEBUAH filem yang memaparkan kisah seorang pesakit kanser yang mengimport ubat-ubatan asing secara haram ke China seterusnya mencetuskan perubahan dasar kerajaan menjadi filem pecah panggung menerima sambutan hebat penonton.
“Dying to Survive” berdasarkan kisah benar Lu Yong yang ditahan pada 2013 selepas secara haram mengimport ubat generik penyakit kanser dalam kes yang mencetuskan perdebatan hangat di China mengenai kos perubatan yang tinggi.
Filem itu dibandingkan dengan “Dallas Buyers Club”, sebuah filem AS dipuji pengkritik pada 2013 tentang penyeludupan ubat rawatan HIV, filem itu juga memberikan nafas segar ke dalam landskap filem China yang dikawal ketat.
Perdebatan awam akhirnya menyaksikan kes Lu digugurkan dan pengalamannya dianggap pencetus kepada usaha kerajaan bertindak menjadi ubat-ubatan penyakit kanser lebih mudah diperolehi dan murah.
Dibintangi pelakon komedi dan pengarah Xu Zheng yang melakonkan watak utama diinspirasi daripada Lu, filem itu menggunakan komedi untuk membincangkan isu berat dan kini dianggap bakal menjadi salah satu filem pecah panggung terbesar China.
Mula ditayangkan pada 5 Julai lalu, ia malah melepasi kutipan pecah panggung minggu pertama mengatasi “Wolf Warrior 2”, sebuah filem aksi patriotik yang sebelum ini dianggap filem ditunggu-tunggu banyak pihak.
Kutipan itu membuatkan ia dianggap bakal menjadi filem terlaris China sepanjang zaman dan filem bukan Hollywood pertama dalam senarai 100 filem yang mempunyai kutipan tertinggi seluruh dunia.
Lu yang kini berusia 50 tahun diberitahu pada 2002 yang beliau menghidap penyakit leukemia mielogenus kronik (CML).
Doktor memberitahunya yang Glivec, dikeluarkan gergasi farmasutikal Switzerland, Novartis boleh menstabilkan penyakitnya sehingga beliau mampu menjalani pembedahan pemindahan sumsum tulang yang boleh menyelamatkan nyawanya.
Tetapi Glivec- jenama Novartis untuk dadah Imatinib- berharga sekitar 24,000 yuan (AS$3,600) sebotol di China ketika itu.
Ubat generik dikeluarkan India hanya berharga 2,000 yuan, dan Lu mula memesan jumlah ubat itu dalam kuantiti banyak selepas pesakit lain meminta bantuannya.
Ubat India itu diharamkan di China dan Lu akhirnya ditangkap.
Tetapi dalam situasi yang sangat jarang berlaku, pihak berkuasa China tunduk kepada suara rakyat, pendakwa raya Hunan menggugurkan kes Lu selepas ribuan pesakit leukemia di negara itu menandatangani surat terbuka mendesak Lu dibebaskan.
Lu berkata beliau tidak pernah membuat keuntungan daripada jualan ubat itu tidak pernah didakwa.
Sejak itu, kerajaan melonggarkan peraturan ketat tentang import ubat kanser dan membenarkan tuntutan bayaran Glivec menerusi skim insurans kesihatan negara itu.
“Saya tahu tekanan menderita disebabkan penyakit, jadi saya tak pernah buat untung satu sen pun,” kata Lu.
“Sejak filem itu ditayangkan, ia jadi sensasi. Untuk mampu gerakkan perubahan penjagaan kesihatan adalah perkara yang sangat hebat.”
Lu yang masih menanti pembedahan pemindahan sumsum tulang kini adalah seorang ahli perniagaan memiliki kilang sarung tangan getah di timur China.
Setakat Jumaat lalu, filem itu mengutip 2.04 bilion yuan (AS$300 juta) dan dijangka mengatasi kutipan “Wolf Warrior 2” sebanyak 5.67 bilion yuan yang dikutip sepanjang 12 minggu ditayangkan. – AFP, 15 Julai, 2018.
Komen