Mohamad Ariff akan ke Parlimen Isnin


Mohd Farhan Darwis

Saya belum dilantik baru dicalonkan...saya kan orang luar, kita tengoklah apa yang berlaku esok, kata bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohamad Ariff Md Yusof yang disahkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon speaker Dewan Rakyat. – Gambar Twitter, 15 Julai, 2018.

BEKAS Hakim Mahkamah Rayuan Mohamad Ariff Md Yusof hari ini mengesahkan beliau dicalonkan sebagai speaker Dewan Rakyat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan akan hadir ke Parlimen pada Isnin untuk melalui proses pengundian oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff berkata demikian sejurus selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bekas hakim itu akan dicadangkan sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

“Kita diundi di Dewan… hari Isnin saya akan ke Dewan. Kita tunggulah apa yang berlaku esok (Isnin), perdana menteri sudah umumkan dan Isnin saya akan ke Parlimen.

“Saya belum dilantik baru dicalonkan…saya kan orang luar, kita tengoklah apa yang berlaku esok (Isnin),” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir mengesahkan pencalonan Mohamad Ariff selepas menghadiri taklimat tertutup pembangunan Sarawak yang turut dihadiri Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg dan barisan menteri-menteri Kabinet negeri di Kuching, hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini membuat spekulasi sidang Dewan Rakyat esok mungkin akan ditangguhkan kerana mendakwa pemilihan jawatan speaker tidak memenuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Peraturan itu menyatakan bahawa calon yang dicadangkan sebagai speaker Dewan Rakyat perlu memberitahu kepada setiausaha Dewan secara bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat berlangsung sama ada setuju atau tidak dinamakan sebagai calon speaker.

Selain Mohamad Ariff beberapa nama sebelum ini turut disebut-sebut sebagai calon speaker termasuk bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamuddin Yunus, selepas Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun menolak untuk jadi speaker.

Johari memberi alasan tidak mahu melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat kerusi negeri.

Selain Johari, beberapa nama turut disebut-sebut untuk mengisi jawatan berkenaan, termasuk bekas menteri, Rais Yatim dan veteran DAP, Lim Kit Siang. – 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen