Peluang ‘selfie’ dengan Donald Trump di kafe di Dhaka


Pelanggan bergambar selfie dengan poster kadbod Donald Trump yang diletakkan di pintu masuk kafe. – Gambar EPA, 16 Julai, 2017.

SEBUAH kafe di Bangladesh yang dinamakan sempena nama Donald Trump menarik perhatian pengunjung yang tidak mengendahkan politik kontroversinya, sebaliknya lebih berminat mengambil gambar selfie dengan poster bersaiz sebenar presiden Amerika Syarikat itu.

Kafe di Dhaka itu dibuka Januari lalu oleh peminat setia Trump yang menolak dakwaan beliau “anti Islam”, malah berkata pengunjung kafe bersetuju dengan pendapat itu.

“Jika beliau anti Islam, Trump tidak akan melawat Arab Saudi dan bergembira di sana,” kata pemiliknya, Shafiul Islam, 29.

Katanya, tidak ada satu pun keputusan Trump yang menjejaskan 144 juta penduduk Islam di Bangladesh.

Agenda politik tidak terlintas di fikiran kebanyakan pengunjung kerana mereka lebih suka beraksi untuk bergambar dengan poster kadbod Trump yang diletakkan di pintu masuk kafe berkenaan.

“Pengunjung wanita paling meminatinya. Mereka ‘selfie’ dengan gambar Trump. Kanak-kanak juga menyukainya,” katanya.

Shafiul berkata ramai pengunjung lebih suka hendak merakamkan gambar dengan Trump berbanding memesan makanan.

Kafe berkenaan menghidangkan masakan Thailand, China dan India dengan hidangan khas diberi nama “Burger Trump”.

Lebih menarik, saluran berita CNN ditayangkan bagi memberikan lebih gaya Amerika manakala kata laluan wifi di kafe itu ialah “Ivanka Trump”. – AFP, 16 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen