Polis Thai tahan kumpulan pembunuh lapan sekeluarga


Ketua kampung di Krabi dan tujuh ahli keluarganya termasuk tiga kanak-kanak mati ditembak sekumpulan lelaki yang menceroboh rumahnya Isnin lalu. – Gambar EPA, 16 Julai, 2017.

POLIS Thailand hari ini menangkap semua suspek yang terbabit dalam pembunuhan kejam lapan sekeluarga di selatan negara itu awal minggu ini.

Polis berkata sekumpulan tujuh lelaki berpakaian celoreng menceroboh masuk ke rumah ketua kampung di Krabi pada Isnin lalu dan membunuhnya serta tujuh ahli keluarganya, termasuk tiga kanak-kanak, dengan sedas tembakan di kepala.

Tiga lagi turut ditembak tetapi masih hidup, termasuk seorang wanita yang berpura-pura mati selepas peluru melepasi telinganya, dan dapat memberi petunjuk penting kepada pihak berkuasa.

“Ada tujuh orang di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Thailand Chaktip Chaijinda kepada wartawan hari ini sambil menambah semua sudah ditangkap dan mengaku melakukan jenayah itu.

Katanya, penyiasat percaya pembunuhan itu akibat perbalahan mengenai tanah antara ketua kampung dan tokoh perniagaan bergelar “Bang Fad” yang turut ditahan.

Chaktip berkata Bang Fad terbabit dalam pembunuhan itu dan anggota lain kumpulan berkenaan cuma diupah sebanyak 1,000 baht (RM128) dan mungkin tidak tahu yang mereka akan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Oleh sebab penjenayah itu memakai pakaian celoreng, khabar angin tersebar di media Thailand yang pembunuh terbabit mungkin anggota tentera.

Bagaimanapun, Chaktip menolak teori itu dan berkata mereka penduduk tempatan, sebahagiannya bekerja sebagai pengawal keselamatan. – AFP, 16 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen