PERDANA Menteri Haiti, Jack Guy Lafontant meletak jawatan pada Sabtu selepas berlaku keganasan maut yang tercetus akibat pelan menaikkan harga minyak yang kini dibatalkan.
“Saya telah menyerahkan surat peletakan kepada presiden yang menerima ‘peletakan jawatan saya’,’ kata Lafontant.
Beliau akan menghadapi undi tidak percaya sekiranya tidak meletak jawatan.
Minggu lepas kerajaan Caribbean mengumumkan pelan bagi kenaikan harga minyak - 38 peratus untuk petrol, 47 untuk diesel dan 51 peratus untuk minyak tanah.
Pengumuman itu mencetuskan bantahan besar-besaran, di mana jalan-jalan di ibu kota Port-au-Prince dan bandar-bandar lain disekat dengan tayar-tayar yang dibakar.
Berpuluh kedai dan kenderaan juga dimusnahkan dan dibakar, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh. Keadaan ini memaksa kerajaan membatalkan pelan itu dengan serta-merta.
Lafontant merupakan seorang doktor yang sedikit pengalaman dalam bidang politik sebelum memegang jawatan sebagai perdana menteri pada Februari 2017. Beliau dari awal menerima kritikan sebelum kejadian serangan itu lagi.
Pada Sabtu, beratus-ratus orang berarak di Port-au-Prince, mendesak Lafontant dan Presiden Jovenel Moise.
Haiti merupakan sebuah negara miskin dengan kira-kira 60 peratus rakyatnya memperoleh pendapatan kurang daripada dua dolar setiap hari.
Pada Februari, Haiti menandatangani perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi dan struktur bagi menggalakkan pertumbuhan. – AFP, 15 Julai, 2018.
Komen