PTPTN perlu bertegas pada peminjam enggan bayar, kata menteri


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata PTPTN perlu bersikap lebih tegas terhadap peminjam yang enggan membayar pinjaman pendidikan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2017.

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu bersikap lebih tegas terhadap peminjam yang enggan membayar pinjaman pendidikan itu, kata Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh.

Idris berkata penyelidikan Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati ada peminjam PTPTN yang berdegil tidak membayar pinjaman pendidikan, tetapi melunaskan bayaran bulanan pinjaman kereta atau rumah.

“Bank Negara Malaysia baru jumpa saya, tunjuk satu penyelidikan mereka sendiri, orang yang tidak bayar PTPTN itu, tapi bayar pinjaman rumah, pinjaman kereta dan kad kredit.

“Orang yang sama tidak membayar PTPTN. Sebab apa? Sebab tak nak. Bukan tak boleh bayar Jadi PTPTN perlu jadi lebih tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pelajar mengenai penyelesaian dan pandangannya mengenai peminjam PTPTN menghadapi masalah ke luar negara kerana disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa.

“Tapi dalam ketegasan PTPTN, kalau tak boleh bayar RM200, bayar RM100, kalau tak bayar RM50, tapi datang jumpa kami.

“Sesiapa yang rasa teraniaya, saya akan terus membela pelajar itu, saya beritahu PTPTN jangan aniaya sesiapa pun,” katanya kepada pelajar dari pelbagai universiti yang hadir program di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali dilaporkan berkata lebih separuh daripada 622,768 rakyat Malaysia yang dilarang ke luar negara sejak 2010 merupakan peminjam PTPTN.

Selain peminjam PTPTN, 123,592 rakyat Malaysia dilarang ke luar negara oleh Jabatan Insolvensi Malaysia; Lembaga Hasil Dalam Negeri (99,817); Jabatan Pendaftaran Negara (65,883); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (6,837); Polis Diraja Malaysia (5,792) dan 1,925 oleh Jabatan Kastam atas sebab berbeza.

Sebelum ini Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berkata manifesto Pilihan Raya Umum 14 yang diiktiraf sayap belia semua parti komponen Pakatan Harapan berikrar memperkenalkan pendidikan percuma kepada kanak-kanak di peringkat pra sekolah sehingga pendidikan tinggi di universiti awam. – 16 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen