.jpg)
INI impian saya untuk tanah air tercinta: Malaysia seharusnya menjadi sebuah negara yang hebat dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara mahupun dunia kerana rakyat kita mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.
Malaysia berpotensi untuk jadi hab penterjemahan bahan-bahan bacaan, kandungan multimedia dan sebagainya. Kita seharusnya menjadi pengantara tiga tamadun besar, iaitu Asia Timur, Asia Selatan serta Austronesian.
Namun, disebabkan kegilaan perkauman yang diapi-apikan oleh segelintir pemimpin politik, keupayaan bertutur dalam pelbagai bahasa adakalanya dipandang bagaikan suatu sumpahan.
Kita perlu membuat keputusan sama ada untuk melihat kebolehan anak Malaysia menguasai pelbagai bahasa ini sebagai suatu rahmat ataupun sumpahan.
Menurut kajian, ada lebih 500 bahasa dipertutur oleh peniaga, penduduk dan pengembara yang melawat Melaka lima abad yang lalu. Ketika itu, Melaka sebuah metropolitan yang makmur kerana kuasa mengawal Selat Melaka. Tidak kira apa bahasa yang dipertutur oleh mereka yang hanya singgah sebentar ataupun pemastautin tetap, yang pentingnya, kepelbagaian tersebut telah memperkayakan budaya kita.
Budaya dan bahasa bukan benda yang statik. Budaya dan bahasa senantiasa dalam perubahan. Lihat sahaja ada perkataan baru yang ditambah ke dalam Kamus Dewan Bahasa setiap tahun. Kalau kita lihat balik, mesti ada perkataan yang diguna pakai 100 tahun dahulu namun kini sama ada sudah tidak digunakan ataupun diguna dengan maksud yang baru.
Budaya kita adalah koleksi hikmah sepanjang masa ini. Bahasa pula mencerminkan budaya kita.
“Bahasa jiwa bangsa” ialah falsafah abad ke-20 ketika banyak negara-bangsa baru memperoleh kemerdekaan. Dalam konteks abad yang lalu, setiap satu bangsa mempunyai satu bahasa. Orang yang dapat menguasai beberapa bahasa ialah minoriti. Seringkalinya sesebuah negara baru ditubuhkan adalah homogen, terdiri daripada satu kaum dan bertutur dalam satu bahasa.
Bagaimanapun, kita tahu bahawa negara moden pada masa kini tidak sama dengan seabad yang lalu. Melalui proses penghijrahan, perkahwinan dan pekerjaan, banyak negara sekarang telah menjadi negara yang majmuk.
Justeru, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mempunyai warga berbilang kaum. Kita tidak unik dalam aspek ini. Malah, ada banyak negara lain yang sama seperti Malaysia, misalnya, Belgium, Switzerland, dan Kanada.
Kalau kita meneliti keadaan di negara-negara tersebut, setiap negara ada masalah masing-masing. Mereka pun pernah berhujah serta bergaduh kerana bahasa yang digunakan oleh pelbagai komuniti. Namun, mereka tetap menjadi negara maju pada hari ini. Perbezaan bahasa dan kebudayaan tidak seharusnya menjadi halangan kepada mereka untuk makmurkan negara.
Apa arah tuju anak Malaysia selepas 55 tahun kita bergabung, yang seharusnya diambil oleh anak Malaysia selepas 55 tahun negara ini digabungkan?
Bolehkah kita menjadikan keupayaan berbahasa anak Malaysia ini sebagai kekuatan dan untuk negara kita memainkan peranan yang lebih penting di peringkat global ataupun kita lebih rela untuk terus berkelahi atas soal bahasa?
Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita ada lagi 200 juta penutur di negara jiran kita. Bahasa Mandarin yang ramai anak Malaysia fasih sekarang pun mempunyai sekurang-kurangnya 1.4 bilion penuturnya di luar sana. Bahasa Tamil pula ada 66 juta penutur. Bayangkan anak Malaysia mendapat akses kepada semua pasaran yang menggunakan tiga bahasa ini. Betapa besar peluang bagi generasi anak Malaysia yang akan datang.
Saya seorang pelajar yang menyambung pelajaran sehingga peringkat UEC. Saya belajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina selama 6 tahun dan kemudiannya, menuntut kursus Ijazah Saujana Muda Media dalam Bahasa Mandarin. Namun, semua ini tidak jadi menjadi halangan bagi untuk saya menguasai bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris.
Saya bersetuju bahawa malu rasanya kalau anak Malaysia tidak fasih dalam bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, untuk menggalakkan semua rakyat supaya lebih fasih dan bertutur dalam bahasa kebangsaan kita, cara yang kita gunakan mesti bertepatan.
Sebuah dongeng Aesop menggambarkan keadaan ini: Pada suatu hari, Sang Suria dan Angin bersaing untuk menjadikan seorang pengembara membuka jaketnya. Angin kencang. Tapi semakin kuat angin, semakin kuat pengembara berpegang pada jaket itu. Angin gagal. Sang Suria senyum lalu mengeluarkan sinar perlahan-lahan. Akhirnya, pengembara berasa panas lalu membuka jaketnya itu. Suria menang dalam pertandingan. Mana yang kita perlu contohi? Angin atau matahari?
Dalam Malaysia baru, saya berharap kita boleh membina semula negara kita dengan kekuatan yang kita ada walaupun jarang dihargai.
Janganlah kita berpecah kerana kekuatan masing-masing.
Biarlah kita mempromosikan tulisan sastera dalam Bahasa Melayu tapi pada masa yang sama, jangan lupa bahawa ada ramai anak Malaysia yang mempengaruhi dunia ini dengan tulisan dalam bahasa lain. – 15 Julai, 2018.
* Wong Shu Qi, adalah ahli Parlimen Kluang merangkap Setiausaha Publisiti DAP Johor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen