Berpuluh agensi bantu usahawan Bumiputera, apa hasilnya?


Mohd Farhan Darwis

Laporan Audit Negara pada Julai 2017 mendedahkan Tekun Nasional yang diperkenalkan untuk membantu peniaga kecil-kecilan rugi sehingga RM209 juta, termasuk menanggung hutang lapok mencecah RM410 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.

KOMUNITI usahawan Bumiputera kecewa kerana usaha membangunkan golongan itu masih belum mencapai kejayaan walau berpuluh-puluh agensi ditubuhkan oleh kerajaan sebelum ini.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) melihat, banyak fungsi agensi berkenaan bertindih dan program dijalankan kerajaan pula banyak yang menyumbang kepada ketirisan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Nizam Mahshar berkata, masalah utamanya kerana program itu tidak dinilai semula untuk memastikan keberkesanannya.

Masalahnya banyak program kita tidak ada penilaian ke atas hasilnya. Contohnya laporan sebelum ini dari pelbagai agensi mereka sebut berpuluh-juta dibelanjakan untuk sekian banyak usahawan tapi kita tengok (hasilnya) lebih kurang sama. 

“Tiada orang semak program ini berjaya atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Beliau melihat, terdapat “berpuluh-puluh” agensi yang ditubuhkan untuk membantu golongan usahawa tetapi hasilnya masih menjadi persoalan.

Agensi ada berpuluh-puluh. Menteri di zaman Najib Razak kata berbilion ringgit dibelanjakan kepada usahawan khususnya Bumiputera tapi usaha itu tidak berjaya,” kata Nizam.

Pengkaji dari Penang Research Centre in Socio-Economy, sebuah badan kajian bawah kerajaan Pulau Pinang itu berkata, banyak program keusahawanan tak bertepatan keperluan dan kehendak usahawan. 

“Kita takut banyak program syok sendiri. Itu masalahnya,” kata Nizam yang menambah, agensi untuk membantu usahawan ini selalu menjaja cerita sama sebagai bukti kejayaan program mereka.

Beliau memberi contoh, syarikat penerbit karya animasi Les Copaque yang sering disebut sebagai produk usahawan berjaya.

“Banyak agensi kata (Les Copaque) adalah produk mereka. Begitu juga Animonsta (sebuah lagi syarikat penerbit animas), semua mengaku itu kejayaan mereka.

“Bagaimana dengan usahawan lain. Itu tak menunjukkan program ini berorientasikan hasil,” kata Nizam lagi.

Antara program yang meraih kontroversi semasa pentadbiran Najib Razak sebelum ini adalah Tekun Nasional, Tunas Usahawan Nasional Berhad dan penyenaraian syarikat PKS di pasaran saham melalui Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP).

Agensi untuk membantu usahawan ini selalu menjaja cerita sama sebagai bukti kejayaan program mereka, contohnya syarikat penerbit karya animasi Les Copaque yang sering disebut sebagai produk usahawan berjaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.

Laporan Audit Negara pada Julai 2017 mendedahkan Tekun Nasional yang diperkenalkan untuk membantu peniaga kecil-kecilan rugi sehingga RM209 juta, termasuk menanggung hutang lapuk mencecah RM410 juta.

Skim itu juga gagal melaksanakan sekurang-kurangnya tiga projek yang menelan kos lebih RM800,000.

Selain itu, turut menjadi perhatian adalah Insentif Program Local to Global Corporation Ascend 800 atau LGC 800 dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) oleh Mara.

Najib juga bertanggungjawab membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan memindahkan fungsinya kepada kementerian lain semasa rombakan Kabinet pada April 2009.

Ia antara lain melibatkan pemindahan Mara kepada  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Selain itu, Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar, Perbadanan Nasional Berhad dan Bank Rakyat dipindahkan ke Kementerian Kewangan.

Rombakan itu juga menyaksikan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri dan Pusat Khidmat Kontraktor dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya.

Nizam yang juga setiausaha agung Dewan Perhimpunan Melayu Malaysia berkata, cabaran utama menteri keusahawanan, Redzuan Yusoff adalah menyusun kembali dan menggabung agensi yang bertindih.

MTEM turut menyarankan agar kementerian dan agensi di bawahnya tidak lagi membazir tenaga dan wang ringgit untuk melancarkan sesuatu inisiatif.

“Semua kementerian seharusnya tidak lagi membazir dana melancarkan program baharu yang kemudiannya gagal,” tambahnya lagi.

Beliau kecewa kerana program yang terbukti berjaya membantu usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar dibayangi oleh program besar seperti pesta usahawan Jom Heboh.

“Jutaan ringgit dibelanjakan untuk bawa orang ramai ke majlis-majlis. Mereka akan nilai berapa banyak mereka belanja berbanding hasilnya. 

“Tapi pesta usahawan ini tidak selesaikan masalah usahawan. Lebih baik duit disalurkan kepada usahawan atau program mendidik usahawan,” katanya yang kecewa dengan pembaziran seperti itu. – 15 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen