13 mangsa gua Thailand keluar hospital Khamis depan


Selepas berjaya diselamatkan daripada terperangkap dalam gua, 12 budak lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang kini sedang dirawat dibenarkan keluar hospital Khamis depan. – Gambar AFP, 14 Julai, 2018.

12 budak lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang diselamatkan dari sebuah gua di Thailand akan dibenarkan keluar dari hospital Khamis depan, kata pegawai kesihatan yang menawarkan sokongan psikologi dan menasihati kumpulan itu mengelak memberikan wawancara media biarpun kisah mereka menarik perhatian dunia.

Kumpulan itu yang digelar “Wild Boars” sempena nama akademi bola sepak mereka memasuki gua Tham Luang di utara Thailand pada 23 Jun lalu untuk menyambut hari lahir salah seorang mereka, tetapi terperangkap selepas gua itu tiba-tiba dibanjiri arus deras.

Mereka diselamatkan pada 10 Julai, mengakhiri misi menyelamat yang memukau dunia.

“Semua 13 Wild Boars berada dalam keadaan fizikal yang sihat…semuanya bersemangat,” kata Menteri Kesihatan Awam Piyasakol Sakolsattayatorn kepada wartawan pada Sabtu.  

“Mereka akan dibenarkan keluar bersama-sama, dijadualkan pada Khamis (depan).”

Kanak-kanak itu-dan ibu bapa- mereka dinasihatkan menghabiskan masa bersama kawan-kawan dan keluarga serta tidak memberikan wawancara media kerana ia boleh mencetuskan “simptom tekanan pasca trauma,” kata menteri lagi.

Kehilangan pemain bola sepak muda dan jurulatih itu dan misi menyelamat yang dilakukan menjadi tumpuan dunia.

Penerbit filem Hollywood sudah mula merancang untuk membikin filem berdasarkan kisah penuh dramatik itu.

Misi mengeluarkan semua mereka yang berlaku selama tiga hari berjaya sepenuhnya pada 10 Julai lalu.

Dalam langkah menyelamat yang teliti dirancang, budak-budak itu dipakaikan baju dan peralatan menyelam, sebelum disuntik ubat anti gelisah, diletakkan dalam pengangkut dan dibawa melalui kawasan ditenggelami air dan cerun tajam dalam gunung itu.

Misi menyelamat itu melibatkan puluhan pakar menyelam warga Thailand dan asing yang gembira apabila misi itu berjaya dilaksanakan.

Pakar kesihatan mental memberi amaran kesan jangka panjang kerana terperangkap dalam gua gelap tanpa makanan terutamanya selama sembilan hari sebelum mereka ditemui penyelam British.

Pihak berkuasa hanya mendedahkan sebahagian maklumat misi menyelamat itu, hanya memberikan akses maklumat kepada keluarga mangsa. – AFP, 14 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen