12 pegawai perisikan Rusia didakwa secara rasmi pada Jumaat kerana menggodam kempen pilihan raya presiden Hillary Clinton pada 2016 dan Parti Demokrat dalam perkembangan menggemparkan tiga hari sebelum pertemuan Presiden Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putih.
Pendakwaan itu dilakukan oleh Kaunsel Khas Robert Mueller, bekas pengarah FBI yang menyiasat campur tangan Rusia pada pilihan raya November 2016 dan sama ada ahli pasukan Trump bersubahat dengan Moscow.
Pemimpin Demokrat serta merta menggesa Trump membatalkan pertemuan dengan Putin dijadualkan berlaku Isnin ini di Helsinki, tetapi White House berkata pertemuan akan tetap diteruskan.
“Ia diteruskan,” kata jurucakap Sarah Sanders.
Pendakwaan setebal 29 muka surat itu menuduh anggota agensi perisikan tentera dikenali sebagai GRU menjalankan “operasi siber besar-besaran” untuk menggodam kempen Clinton dan dokumen serta email Parti Demokrat.
“Tidak wujud dakwaan yang konspirasi itu mengubah kiraan undi atau menjejaskan keputusan pilihan raya,” kata Timbalan Peguam Negara Rod Rosenstein ketika mengumumkan pendakwaan itu pada sidang media di Washington.
“Tidak juga wujud dakwaan yang mana-mana rakyat Amerika melakukan jenayah,” katanya, tetapi menambah “suspek berhubungan dengan beberapa rakyat Amerika ketika konspirasi menerusi internet.”
Bagaimanapun, beliau berkata, “ tidak ada tuduhan dalam pendakwaan ini yang rakyat Amerika tersebut sedar mereka berhubungan dengan pegawai perisikan Rusia.”
Rosenstein berkata beliau sudah memberi taklimat kepada Trump mengenai pendakwaan sebelum pengumuman dilakukan dan masa pengumuman ditentukan oleh “fakta, bukti dan undang-undang.”
Berita pendakwaan berlaku ketika Trump bertemu Ratu Elizabeth II dan hanya 72 jam sebelum pertemuannya dengan Putin.
“Pendakwaan ini dengan jelas menyatakan betapa besarnya operasi tersebut- termasuk campur tangan pegawai perisikan Rusia ke dalam laman sesawang lembaga pilihan raya dan kecurian maklumat berkaitan hampir 500,000 pengundi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Demokrat Nasional (DNC) Tom Perez.
“Kerajaan Rusia menyerang demokrasi kita pada 2016, dan DNC adalah sasaran utama serangan itu,” katanya.
Dalam ucapan di Britain sebelum pendakwaan itu didedahkan, Trump berkata beliau akan bertanya kepada Putin mengenai dakwaan campur tangan pilihan raya.
Tetapi pada masa sama, beliau mengumumkan yang siasatan Mueller adalah “misi cari salah” dan berkata beliau “lebih tegas ke atas Rusia berbanding sesiapa sahaja.”
Presiden AS itu mengingatkan kejadian apabila 60 orang pegawai perisikan Rusia diusir dari Kedutaan Rusia di Washington selepas serangan bahan kimia merbahaya ke atas bekas perisik Rusia di Britain.
Rusia menafikan sebarang penglibatan campur tangan pilihan raya AS bagi memastikan kemenangan Trump dan menolak tuduhan tersebut.
Pendakwaan itu menyatakan pada awal Mac 2016, agen GRU mula menyasarkan lebih 300 pekerja dan sukarelawan kempen Clinton, Jawatankuasa Kempen Kongres Demokrat (DCCC) dan DNC.
“Konspirator secara sembunyi mula memantau computer beratus pekerja DCCC dan DNC, menanam ratusan fail mengandungi kos computer merbahaya dan mencuri email dan dokumen lain,” katanya.
Sekitar Jun 2016, mereka mula menerbitkan ribuan dokumen curi menggunakan persona palsu dalam talian menerusi “DCLeaks” dan “Guccifer 2.0.”, menurut pendakwaan itu.
Mueller sebelum ini mendakwa 13 warga Rusia dan tiga syarikat kerana didakwa masuk campur dalam pilihan raya presiden.
Bekas pengurus kempen Trump, Paul Manafort didakwa kerana pengubahan wang haram dan jenayah lain, sementara bekas penasihat keselamatan Michael Flunn pula mengaku menipu FBI. – AFP, 14 Julai, 2018.
Komen