SEORANG pemandu ambulans di Tanzania ditahan selepas didapati dia menggunakan ambulans dengan siren kecemasan untuk mengangkut dadah narkotik- dikenali sebagai khat- dan bukannya pesakit, kata seorang pegawai pada Jumaat.
Khat adalah tumbuhan daun hijau dan merah yang mempunyai kesan amphetamine sederhana bila dikunyah.
Di banyak tempat di timur Afrika, mengunyah khat adalah aktiviti sosial. Tanzania adalah antara negara yang mengharamkannya.
“Ambulans itu dipintas (pada Rabu) dengan siren berbunyi seolah-olah sedang membawa pesakit, sedangkan ia membawa 800kg khat,” kata pegawai kerajaan tempatan di bandar Tarime kepada AFP.
Katanya, pemandu itu diarahkan membawa pesakit, tetapi memberi alasan kehabisan minyak. Kereta polis yang dihantar untuk membawa pesakit itu mengesan ambulans sama di jalan dan menahannya.
Komander Polis Juma Ndaki dilaporkan akhbar Mwananchi sebagai berkata polis percaya khat itu diseludup dari negara jiran, Kenya yang penggunaan dan penjualan khat dibenarkan. – AFP, 14 Julai, 2018.
Komen