PIHAK berkuasa telah menahan “beberapa” suspek susulan letupan di sebuah kilang kimia di tenggara China yang menyebabkan 19 maut dan 12 yang lain cedera, lapor media negara itu.
Letupan yang berlaku pada jam 6:30 petang waktu tempatan pada Khamis di taman perindustrian di bandar Yibin, Sichuan menurut kenyataan laman sesawang pihak berkuasa keselamatan kerja.
Gambar diterbitkan media tempatan menunjukkan bangunan hangus terbakar dengan runtuhan dapat dilihat.
Bangunan itu dimiliki oleh pengeluar bahan kimia, Hengda yang didakwa “melakukan kerja pembinaan haram di kilang itu yang tidak melepasi pemeriksaan keselamatan dan kawalan kebakaran”, lapor agensi berita rasmi Xinhua pada Jumaat yang memetik kenyataan pegawai tempatan.
Kementerian Pengurusan Bencana sudah menghantar pasukan untuk siasatan lanjut punca letupan, tambah laporan itu lagi.
China digemparkan dengan beberapa kemalangan besar industri sejak beberapa tahun lepas.
Letupan tangki kumbahan November lepas memusnahkan kawasan perindustrian ringan di Ningbo berhampiran Shanghai.
Pada 2015, letupan tangki simpanan bahan kimia membunuh sekurang-kurangnya 165 orang di Tianjin.
Tragedi itu menyebabkan kerugian lebih AS$1 bilion dan mencetuskan kemarahan awam kerana ketidaktelusan kerajaan mengenai tragedi itu dan kesan alam sekitar letupannya.
Inkuiri kerajaan akhirnya mencadangkan 123 orang dihukum. Datuk bandar Tianjin ketika kejadian dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah pada September. – AFP, 14 Julai, 2018.
Komen