Umno dan PAS wajar bekerjasama


DALAM PRU14, Barisan Nasional (BN) hanya dapat mengekalkan penguasaannya di Perlis dan Pahang manakala PAS di Kelantan dan Terengganu.

PAS merampas Terengganu daripada BN dengan majoriti mudah selepas memenangi lebih separuh daripada kerusi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perpecahan dan konflik dalaman PAS yang berlaku sebelum PRU14 dilihat sebagai suatu fenomena yang mengubah landskap politik khususnya dalam kalangan pengundi Melayu PAS yang sebahagiannya beralih kepada Amanah.

Konflik dalaman yang berlaku antara PAS dan DAP bukan sesuatu yang baru dalam politik Malaysia. Kerjasama yang terjalin dalam Pakatan Rakyat terhenti begitu saja kerana masing-masing tegas dengan keputusan dan pendirian mereka terutamanya dalam pelaksanaan Rang Undang-undang 355.

Sebenarnya sebelum PRU14 lagi ada khabar angin tercetus bahawa PAS ingin atau mungkin menjalinkan kerjasama bersama BN dalam menentang PH yang turut disertai oleh Bersatu.

BN pula melihatnya sebagai satu strategi dalam mendapatkan semula undi orang Melayu. Namun hasrat itu tidak dapat diteruskan kerana mendapat tentangan ahli parti dan pemimpin sendiri.

Pasca PRU14 pula menyaksikan Umno berdiri bagaikan sebuah parti yatim disebabkan komponen parti mula keluar parti kecuali MCA dan MIC. Kini, berkemungkinan besar Umno perlu memikirkan semula hasrat lamanya iaitu bergabung dengan PAS bagi memperkukuhkan semula blok pakatannya.

Umno dan PAS sebagai parti politik Melayu perlu menubuhkan satu blok baharu. Walaupun kedua-dua parti itu mempunyai pertentangan dalam beberapa aspek namun ada beberapa persamaan pada asas perjuangannya. Kedua-dua parti ini meletakkan perjuangan Islam dan Melayu dengan jelas dalam perlembagaan parti dan masing-masing berideologikan konservatisme.

Umno perlu mengubah strategi dengan mencari rakan seperjuangan selain MCA dan MIC, malah perlu lebih cekap dalam menggunakan kaedah baru selepas tragedi PRU14.

Jika masing-masing ingin menunjukkan kehebatan masing-masing, kedua-dua parti ini tidak akan berupaya untuk melawan PH kerana PH dilihat semakin kuat dan disenangi di mata rakyat.

Kerjasama yang akan berlaku antara kedua-dua parti politik orang Melayu itu kelak akan mampu membina kekuatan sebenar politik Melayu dan juga kestabilan politik negara secara menyeluruh. Hasrat ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan persetujuan pemimpin dan ahli kedua-dua parti.

Namun sekiranya masing-masing berunding dan membawa satu kata putus yang boleh mendapatkan semula keyakinan rakyat, ia wajar dilakukan demi kelangsungan parti dan perjuangan sebenar parti demi orang Melayu.

Bagaimanapun, Umno tidak perlu menggunakan sentimen perkauman dalam meraih perhatian rakyat Malaysia kerana ia sudah lapuk ditelan zaman.

Kekuatan Umno adalah pemimpinnya sendiri. Pemimpinlah yang perlu mencorakkan Umno dan membawa pembaharuan dalam parti supaya dapat menjadi saingan hebat dalam PRU15 kelak. – 14 Julai, 2018.

* Jaymani Sevanathan ialah pelajar program sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen