BEKAS perdana menteri Pakistan Nawaz Sharif ditahan ketika kembali ke negara itu semalam, di mana beliau berdepan hukuman penjara 10 tahun kerana rasuah, menjelang pilihan raya yang semakin tegang.
Nawaz dan anak perempuannya Maryam ditahan oleh pihak berkuasa rasuah serta-merta sehingga arahan lanjut diterima, menurut satu kenyataan daripada pentadbiran bandar Islamabad.
Kenyataan berkenaan menyebut mereka mendarat di Lahore dan dibawa ke ibu kota itu.
Pihak berkuasa anti rasuah mengesahkan penahanan itu.
Nawaz dan anaknya juga dilaporkan pulang untuk menggerakkan kempen parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) menjelang pilihan raya 25 Julai ini.
Dua beranak itu minggu lalu dijatuhkan hukuman penjara tanpa kehadiran mereka bersabit pendedahan Kertas Panama pada 2016 yang mendakwa mereka memiliki apartmen di London melalui syarikat pesisir. Mereka menafikan tuduhan tersebut.
Kira-kira 15,000 penyokong menyanyi dan menari di sepanjang jalan utama Lahore, menyambut kepulangan Nawaz dari London.
Lahore ialah ibu kota wilayah Punjab, kawasan paling ramai penduduk di Pakistan dan juga kubu kuat PML-N.
Sekumpulan kecil lagi penyokong menunggu di laluan menuju ke penjara Adiala di Rawalpindi, bandar bersebelahan Islamabad, di mana Nawaz dijangka dibawa sebelum ke rumah tetamu di pinggir ibu kota di mana pihak berkuasa berkata tempat itu diisytiharkan sebagai “penjara”.
Kira-kira 100 anggota polis membuat sekatan jalan raya.
Penganalisis berkata kepulangan Nawaz – seminggu selepas dijatuhi hukuman penjara – dapat membantu nasib partinya menjelang hari mengundi. – AFP, 14 Julai, 2018.
Komen