Kerja kosong di Sri Lanka, tukang gantung diperlukan


Sri Lanka tidak melakukan hukuman mati sejak 1978. Negara itu mencari calon berkelayakan untuk mengisi jawatan tukang gantung memandangkan ia akan kembali memperkenalkan hukuman mati. Gambar menunjukkan banduan sedang bersedia untuk membuat persembahan dalam penjara di Colombo, Sri Lanka. – Gambar EPA, 13 Julai, 2018.

SRI LANKA mencari individu berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan tukang gantung, kata pegawai penjara pada Jumaat selepas Presiden Maithripala Sirisena mengakhiri moratorium hukuman mati negara itu.

Jurucakap penjara, Thushara Upuldeniya berkata iklan jawatan tukang gantung itu akan diterbitkan minggu depan selepas Sirisena mengumumkan penyeludup dadah akan dikenakan hukuman gantung dan tidak lagi dipenjara seumur hidup.

Sri Lanka tidak melakukan hukuman mati sejak 1978. Penjenayah yang selalunya dikenakan hukuman mati untuk jenayah bunuh, rogol dan jenayah berkaitan dadah sebaliknya dipenjara seumur hidup.

Negara itu bagaimanapun masih menggaji tukang gantung, tetapi sejak 2014 tiga orang yang mengisi jawatan itu telah berhenti kerja.

“Tukang gantung sebelum ini sudah meletak jawatan,” kata Upuldeniya kepada AFP.

“Tetapi, kami bersedia melaksanakan hukuman selepas keputusan kerajaan minggu ini.”

Gaji sebanyak 35,000 rupee (AS$220) sebulan ditawarkan kepada calon berjaya, katanya.

Minggu ini, Sirisena berkata Sri Lanka akan kembali menggantung banduan yang bersalah kerana jenayah dadah berulang ketika pentadbirannya sedang berusaha memerangi jenayah dadah di negara itu.

Pihak berkuasa berkata hukuman lebih tegas diperlukan untuk memerangi jenayah berkaitan dadah yang dakwa mereka semakin meningkat.

Sirisena pada Selasa berkata beliau “bersedia menandatangani waran mati” penyeludup dan menggerakkan pasukan tentera untuk menghapuskan sindiket pengedaran dadah.

“Bermula sekarang, kita akan menggantung penjenayah dadah tanpa menukar hukuman mati mereka,” kata jurucakap kerajaan Rajitha Senaratne.

“Kami diberitahu yang Filipina berjaya menggunakan tentera memerangi masalah ini. Kami akan cuba meniru kejayaan mereka,” katanya.

Jurucakap penjara Upuldeniya berkata terdapat 373 tahanan menunggu hukuman mati di Sri Lanka termasuklah 18 orang yang disabitkan bersalah untuk jenayah dadah.

“Jika presiden mula menandatangi waran hukuman, kami akan boleh melakukan arahannya. Kami sudah bersedia. Yang hanya kami perlukan adalah tukang gantung,” katanya.

Hampir 900 penjenayah dijatuhkan hukuman mati tetapi sedang membuat rayuan.

Amnesty International menggesa Sri Lanka supaya tidak menyambung kembali hukuman mati. – AFP, 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen