SEKURANG-KURANGNYA 30 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden serangan udara pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang berlaku semalaman di timur wilayah Deir al-Zour di Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita rasmi Sana pada Jumaat.
Serangan udara itu menyasarkan kawasan kediaman di bandar Baghour Foqani dan Souseh di timur tebing Sungai Eufrat berhampiran bandar Al-Bukamal yang terletak di timur Deir al-Zour.
Angka kematian mungkin meningkat kerana ramai mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Berpuluh-puluh kediaman musnah, lapor Sana yang menuduh gabungan tentera pimpinan AS itu menyasarkan penduduk tempatan yang enggan menerima kemasukan Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS.
Bandar terbabit terletak di sebuah kawasan kecil di timur Deir al-Zour yang dikawal oleh Daesh.
Kerajaan Syria telah berulang kali menuduh AS menyasarkan orang awam di Syria, dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghentikan operasi ketenteraan gabungan itu di Syria.
Gabungan tentera pimpinan AS telah beroperasi di Syria sejak 2014, menyokong kumpulan diteraju puak Kurdish di utara Syria dalam memerangi Daesh.
Kerajaan Syria menegaskan matlamat sebenar gabungan itu ialah untuk memanjangkan krisis di Syria dengan menggunakan Daesh sebagai alasan untuk terus mewujudkan ketidakstabilan di negara tersebut. – Bernama, 13 Julai, 2018.
Komen