Operasi hospital Malaysia di Cox’s Bazar ditambah baik


Pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh bagi membantu pelarian Rohingya yang telah mula beroperasi sejak November lepas akan ditambah baik. – Gambar AFP, 13 Julai, 2018.

KEMENTERIAN Pertahanan sedang meningkatkan usaha bagi menambah baik pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh yang telah mula beroperasi sejak November lepas.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, menterinya Mohamad Sabu membuat lawatan ke hospital berkenaan semalam bagi meninjau pengoperasian HMM serta melihat penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam pelaksanaan misi tersebut pada masa depan.

“Lawatan ini juga merupakan kerjasama Kementerian Pertahanan bersama pasukan sukarelawan Amal Relief Malaysia (ARiF) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi menghantar keperluan kepada warga Rohingya yang mendapatkan perlindungan di kem pelarian berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, antara sumbangan yang disampaikan untuk kegunaan kem pelarian tersebut termasuk empat unit Sistem Rawatan Air Medan SafeWhere bernilai RM167,000 yang merupakan sistem rawatan air medan berkapasiti dan berteknologi tinggi yang direka sendiri melalui satu projek kolaborasi antara ATM dan IMARET (Pasukan Bantuan Persatuan Perubatan Islam).

Dalam lawatan itu, seunit Mesin X-Ray Mudah Alih, 1,000 helai t-shirt dewasa dan kanak-kanak, 300 kain batik, 300 selimut thermal, 50 guni selimut, 300 unit kit kebersihan, 10 kotak penapis air dan pelbagai makanan seperti biskut, roti dan sardin disumbangkan untuk kegunaan di kem pelarian berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pengoperasian HMM dikelolakan oleh ATM dengan bantuan tenaga pakar dan staf perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 17 Februari sebelum diambil alih ATM sepenuhnya menggunakan tenaga pakar dan staf perubatan ATM di bawah kelolaan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan yang dinamakan sebagai Operasi STARLIGHT-1.

“Tim Operasi STARLIGHT-1 memulakan pengoperasian HMM pada 1 Mac dan berlaku pertukaran pasukan pakar pada 21 Mei melibatkan secara keseluruhannya 56 orang pegawai, anggota lain-lain pangkat (LLP) dan kakitangan awam ATM,” katanya.

Pasukan pakar itu terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan dalam pelbagai bidang, pegawai farmasi, pegawai kewangan, pegawai tadbir dan kakitangan perubatan ATM.

Menurut kenyataan itu, pasukan Operasi STARLIGHT-1 merawat 17,849 orang pesakit yang terdiri daripada pelarian Rohingya dan sebilangan rakyat tempatan Bangladesh selain melakukan 600 pembedahan di hospital itu sejak lima bulan beroperasi.

Mohamad dan isteri Normah Alwi serta wakil ATM dan Kementerian Pertahanan berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka menggunakan pesawat TUDM (A400M) dan disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Nur Ashikin Mohd Taib.

Beliau kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Bangladesh Sheikh Hasina Wazed di Old Sangsad Bhaban, Tejgaon, Dhaka sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong untuk ke Cox’s Bazar.

Mohamad kemudiannya pergi ke daerah Ukhiya, lokasi HMM ditempatkan dan dibawa meninjau persekitaran penempatan kem pelarian berkenaan dan menyampaikan bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia atas usaha beberapa NGO di Malaysia kepada pelarian Rohingya di Pusat Komuniti Balukhali Extension.

“Sebelum diberi taklimat dan meninjau persekitaran pengoperasian HMM, beliau menyempurnakan simbolik penyerahan Sistem Rawatan Air iaitu dua unit alat rawatan air dan seunit generator 60KVA sumbangan kerajaan Brunei Darussalam melalui Kementerian Pertahanan mereka yang akan diurus selia oleh HMM,” kata kenyataan itu.

Simbolik penyerahan disempurnakan bersama Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Bangladesh, Masurai Masri.

Pengoperasian HMM bertujuan untuk menzahirkan hasrat murni kerajaan Malaysia dalam memberi bantuan kemanusiaan khususnya kepada pelarian Rohingya yang sedang berlindung di Bangladesh dengan memfokuskan perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

Keseluruhan operasi dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Bangladesh dan Angkatan Tentera Bangladesh (ATB) serta dibantu oleh KKM, NGO dan sukarelawan Malaysia. – Bernama, 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen