Pakatan Harapan bersedia buru kapal lanun BN


SEJAK Pakatan Harapan (PH) mengumumkan saf kepimpinan baharu pada tengah malam/awal pagi Jumaat lalu, Umno-Barisan Nasional (BN) terkapai-kapai berhempas pulas mencari idea dan bahan untuk menyerang, hingga ada di antara mereka yang terpaksa membuat “U-turn” dalam masa yang singkat.

Contoh utama adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak yang bertanya, “Di mana DAP?” apabila melihat pimpinan utama hampir kesemuanya daripada kalangan orang Melayu. Namun semua tahu Salleh sendiri pernah berkata pemimpin Melayu dalam PH dipergunakan DAP.

Semalam Timbalan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula berkata PH bagai “kapal” yang mempunyai tiga nakhoda dengan tiga “peta” berbeza yang akhirnya akan mengakibatkan ia tenggelam. Tapi mungkin Zahid tidak membaca sepenuhnya kenyataan media Majlis Presiden PH yang dengan jelas menyatakan:

Oleh demikian, PHn mendokong matlamat berikut:

1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Najib Razak;
2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;
3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;
4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;
5) Reformasi undang-undang dan institusi yang disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa perdana menteri; dan
6) Menghadkan penggal perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

Malah secara lebih khusus lagi, Majlis Presiden PH mengumumkan:

Sejurus mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum k-14 (PRU14), dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, PH komited melaksanakan perkara berikut:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan Felda.

Kenapa “peta” atau matlamat atau objektif Harapan ini tidak cukup jelas buat Zahid?

Berkait “tiga nakhoda”, apabila pimpinan utama PH bersetuju dengan matlamat atau objektif dan memegang kepada prinsip keputusan berdasarkan konsensus, maka tidak timbul isu.

Yang jelas, pengumuman saf kepimpinan utama serta matlamat PH menambahkan rasa panik di Putrajaya. Hingga ke hari ini, serangan dakyah baharu Umno-BN tidak melekat hingga mereka terdesak dan terpaksa menggunakan bahan arkib kuno untuk menyerang pimpinan PH.

Putrajaya semakin panik kerana “kapal Harapan” bukan bakal tenggelam tetapi kini semakin sedia untuk berlabuh memburu kapal lanun Umno-BN.

Dan apabila kapal lanun Umno-BN itu dikalahkan, kami pasti mencari “peta” harta karun 1MDB dalam tangan kapten kapal lanun itu agar segala harta yang dirompak dan dicuri gerombolan ini akan dapat dipulangkan kepada rakyat. – 16 Julai, 2017.

* Fahmi Fadzil adalah pengarah Komunikasi PKR.

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen