SATU pasangan gay disebat di khalayak ramai di daerah konservatif, Aceh, Indonesia pada Jumaat, walaupun wujud desakan pegawai supaya hukuman itu dihentikan kerana kecaman antarabangsa.
Dua lelaki itu disebat lebih daripada 80 kali kerana melakukan hubungan sejenis yang diharamkan menurut undang-undang Islam yang diamalkan di daerah itu, disambut sorakan khalayak yang menontonnya.
Mereka adalah antara 15 orang yang disebat di luar sebuah masjid di Banda Aceh pada Jumaat untuk pelbagai jenayah termasuklah minum atau menjual arak dan bermesra secara terbuka.
Khalayak hampir 1,000 orang termasuk pelancong Malaysia menangkap gambar dan melaungkan “sebat kuat lagi” ketika penyebat bertopeng menyebat pesalah dengan rotan.
Pasangan itu adalah pasangan gay kedua yang disebat di khalayak ramai tahun ini di Aceh, ketika komuniti LGBT negara itu berdepan diskriminasi yang semakin meningkat.
Aceh adalah satu-satunya daerah di Indonesia, negara paling ramai orang Islam di dunia yang melaksanakan undang-undang Islam.
Sebat di khalayak awam adalah hukuman biasa dijatuhkan kepada pelbagai kesalahan termasuklah berjudi, minum arak, melakukan hubungan sejenis dan berzina.
Aceh berkata tahun ini ia akan menghentikan sebatan terbuka tetapi akan meneruskan hukuman sebat dalam penjara.
Dasar baru itu masih belum dilaksanakan.
Kumpulan hak asasi manusia mengecam hukuman kejam itu dan Presiden Indonesia Joko Widodo sudah mendesak ia dihapuskan.
Tetapi, hukuman itu disambut ramai penduduk majoriti Islam Aceh, termasuklah Gabenor Irwandi Yusuf yang ditahan minggu lepas kerana dakwaan rasuah.
Lelaki gay yang disebat pada Jumaat ditangkap orang awam di sebuah salon kecantikan di Banda Aceh awal tahun ini dan diserahkan kepada polis, kata pihak berkuasa.
Seks sejenis bukanlah satu jenayah di kawasan lain di Indonesia walaupun terdapat peningkatan keganasan terhadap komuniti itu di negara itu.
Aceh mula melaksanakan undang-undang agama selepas dikurniakan kuasa autonomi pada 2001, dalam cubaan kerajaan pusat menghapuskan perjuangan puak pemisah di kawasan itu. – AFP, 13 Julai, 2018.
Komen