ISRAEL akan membuka semula kawasan luar masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis hari ini, yang ditutup selepas serangan maut yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan Jordan, penjaga bagi masjid suci umat Islam itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pengesan logam akan dipasang di pintu masuk, manakala kamera juga di kawasan sekitar.
Langkah keselamatan tambahan mungkin akan menjadi kontroversi. Tidak jelas jika ia akan dilakukan dengan segera.
Netanyahu membuat pengumuman itu sebelum pemergiannya ke Perancis, semalam.
Masjid al-Aqsa ini juga dianggap suci oleh orang Yahudi, yang merujuknya sebagai Temple Mount.
“Ia diputuskan secara beransur-ansur membuka Temple Mount kepada pelawat dan pelancong yang bermula petang esok (Ahad),” kata pejabatnya dalam satu kenyataan selepas berunding dengan ketua keselamatan.
“Diputuskan pintu masuk ke Temple Mount akan dilengkapi dengan pengesan logam dan kamera akan dipasang di luar gunung untuk merakam sebarang kejadian di sana. Langkah keselamatan tambahan akan diambil kemudian.”
Tiga penyerang Arab Israel melepaskan tembakan kepada polis Israel pada Jumaat, membunuh dua daripada mereka sebelum melarikan diri ke kawasan Haram al-Sharif di mana mereka ditembak mati oleh polis.
Pihak berkuasa Israel mengatakan mereka datang dari tapak suci, termasuk Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock, bagi melakukan serangan itu.
Rumah Putih mengutuk sekeras-kerasnya serangan hari Jumaat itu, mengatakan “perlunya sifar toleransi terhadap keganasan”.
Selepas serangan itu, pihak berkuasa Israel mengambil keputusan luar biasa dengan menutup tapak suci untuk solat Jumaat.
Pihak berkuasa Israel berkata langkah itu diperlukan untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan.
Wael Arabiyat, menteri hal ehwal Islam Jordan, memberi amaran yang tindakan masjid Al-Aqsa ditutup “berbahaya” dan “belum pernah terjadi sebelumnya”, selepas Amman menyeru pembukaan semula segera.
Ratusan penduduk Jordan, yang bertindak balas terhadap desakan Ikhwanul Muslimin, melakukan bantahan di Amman semalam, menggesa “pembebasan Al-Aqsa”. – 16 Julai, 2017.
Komen