Pembantu juruterbang China hisap vape dalam kabin cetuskan panik


Pembantu juruterbang itu mahu menutup sistem pengudaraan tetapi tersilap menutup sistem penghawa dingin menyebabkan tahap oksigen dalam kabin menurun. – Gambar AFP, 13 Julai, 2018.

SEBUAH pesawat Air China dilanda kecemasan selepas pembantu juruterbang tersilap menutup sistem penghawa dingin pesawat untuk melindungi tindakannya menghisap vape dalam pesawat, lapor media China yang memetik kenyataan pihak berkuasa penerbangan awam pada Jumaat.

Kejadian itu yang menyebabkan pelepasan topeng oksigen penumpang berlaku pada Selasa lalu dalam pesawat syarikat penerbangan nasional China yang menuju ke Dalian, sebuah bandar di China dari Hong Kong.

Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) berkata pada satu sidang media di Beijing, peristiwa itu bermula apabila pembantu juruterbang mahu menutup sistem pengudaraan pesawat bagi menghalang asap merebak ke kabin utama, lapor agensi berita Caixin.

Merokok tidak dibenarkan dalam pesawat penerbangan komersial China.

Tetapi pembantu juruterbang itu tersilap menutup sistem penghawa dingin pesawat menyebabkan penurunan tahap oksigen dalam pesawat.

Kesilapan itu menghidupkan sistem amaran pesawat yang menyatakan pesawat 737 itu terbang terlalu tinggi dan mengarahkan juruterbang utamanya melakukan penurunan mendadak.

Media China melaporkan keterangan penumpang dan laman pengesan pesawat yang berkata pesawat itu melakukan penurunan mendadak sehingga beberapa ribu meter.

CAAC berkata pesawat itu turun sehingga 3,000 meter tetapi tidak memberikan altitud asalnya.

Video dalam kabin menunjukkan topeng oksigen dikeluarkan daripada simpanan walaupun tiada tanda penumpang panik.

CAAC berkata tiada kecederaan berlaku kepada 153 penumpang dan sembilan anak kapal.

Siasatan masih dilakukan. – AFP, 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen