Argentina minta bantuan Rusia, China tahan bekas menteri luar Iran


Bekas menteri luar Iran, Ali Akbar Velayati, dikehendaki di Argentina berhubung insiden pengeboman sebuah pusat Yahudi di Buenos Aires pada 1994. – Gambar fail AFP, 13 Julai, 2018.

ARGENTINA meminta Rusia menahan bekas menteri luar Iran, Ali Akbar Velayati, untuk diekstradisi berhubung insiden pengeboman sebuah pusat Yahudi di Buenos Aires pada 1994, menurut kementerian luar negara itu.

Menurut kenyataan kementerian luar Argentina, Velayati kini berada di Rusia sebagai penasihat khas kepada Presiden Hassan Rouhani dan akan berlepas ke China pada Jumaat, jadi permohonan yang serupa turut dibuat kepada pihak berkuasa China.

Argentina sedang menunggu respons Rusia berhubung permohonan itu yang dibuat “dalam kerangka perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara”.

Velayati adalah menteri luar ketika sebuah bom memusnahkan ibu pejabat Persatuan Bersama Argentina Israel (AMIA) pada 18 Julai, 1994 yang meragut 85 nyawa dan mencederakan 300 yang lain.

Beliau didakwa “melakukan jenayah homisid, dan diklasifikasikan sebagai melakukan dua kemudaratan dengan menanam kebencian kaum serta agama, satu kaedah yang sesuai untuk menimbulkan bahaya yang meluas,” kata hakim yang mendengar kes itu.

Kumpulan Syiah Hizbullah di Lubnan dituduh melakukan pengeboman ke atas pusat Yahudi dan Kedutaan Israel di Buenos Aires dua tahun sebelum itu atas permintaan Iran. – Bernama, 13 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen