PH dengan tiga nakhoda bakal tenggelam, kata Zahid


Zahid Hamidi berkata Pakatan Harapan bakal tenggelam kerana ia mempunyai tiga nakhoda dengan agenda yang berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) bakal tenggelam kerana ia mempunyai tiga nakhoda dengan agenda yang berbeza, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“Secara logik, sebuah kapal yang mempunyai tiga nakhoda akan terumbang-ambing (kerana) seorang ada yang ingin mahu ke kanan dan ke kiri, (akhirnya) kapal akan tenggelam.

“Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam,” kata Zahid yang dipetik Bernama sebagai berkata ketika merasmikan ersidangan Perwakilan Umno Bahagian Ledang hari ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) sebaliknya mempunyai rekod kejayaan yang mampu membela rakyat hasil konsep perkongsian kuasa.

Zahid berkata walaupun Umno adalah penggerak BN, ia tidak pernah meminggirkan orang lain berdasarkan bangsa atau agama mereka.

“Umno memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi dalam masa yang sama bukan Melayu dan bukan Islam tidak pernah kita lupakan atas dasar perkongsian kuasa BN,” kata naib presiden Umno itu.

Zahid juga menolak tuntutan PH akan ada “tsunami Melayu” semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana sokongan terhadap mereka berada pada tahap minimum.

Beliau kemudian meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mengendalikan pendaftaran PH secara profesional dan ia juga harus mengetahui siapa pemimpin sebenar pembangkang.

“Saya juga mengharapkan RoS bertanya kepada mereka (PH) siapa pemimpin sebenar mereka,” kata Zahid.

PH mengumumkan pucuk pimpinannya pada hari Khamis selepas berbulan-bulan bertanding, dengan pengerusi Bersatu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir sebagai pengerusi manakala Anwar Ibrahim sebagai ketua umum.

Presiden PKR dan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai presiden PH.

Tiga timbalan presiden itu ialah presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri Najib; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan presiden Amanah Mohamad Sabu.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, yang dahulunya Menteri Besar Kedah dan Naib Presiden Umno; Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, dan ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dinamakan naib presiden PH. - 15 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen