BEKAS perdana menteri Pakistan, Nawaz Sharif dan anaknya perempuannya, Maryam dijangka akan ditangkap hari ini sebaik tiba di republik itu, seminggu selepas mahkamah menjatuhkan ke atas mereka hukuman penjara masing-masing 10 dan 7 tahun minggu lalu.
Media hari ini melaporkan pihak berkuasa Pakistan menyiapkan dua helikopter untuk memindahkan Nawaz dan Maryam yang dijadualkan tiba dari Abu Dhabi kira-kira jam 6.15 petang (9.15 malam waktu Malaysia).
“Saya dan Maryam akan pulang untuk dipenjara, malah untuk ke tali gantung sekali pun kerana kami tahu kebebasan tidak akan dicapai tanpa pengorbanan,” kata Nawaz dalam kenyataan semalam mengenai kepulangannya itu.
Nawaz dan anaknya juga dilaporkan pulang untuk menggerakkan kempen parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) menjelang pilihan raya 25 Julai ini.
Dua beranak itu minggu lalu dijatuhkan hukuman penjara tanpa kehadiran mereka bersabit pendedahan Kertas Panama pada 2016 yang mendakwa mereka memiliki apartmen di London melalui syarikat pesisir. Mereka menafikan tuduhan tersebut.
Pihak berkuasa di Pakistan semalam menahan lebih 300 penyokong dan pemimpin PML-N di Lahore, untuk mengelak sebarang kemungkinan sambutan kepulangan Nawaz.
Lebih kurang 10,000 anggota keselamatan dikerah untuk mengawal keadaan di serata Lahore hari ini.
Sementara itu, adik Nawaz, Shehbaz Sharif, presiden PML-N dijangka mengetuai perarakan besar menuju lapangan terbang di Lahore untuk menyambut bekas perdana menteri itu.
Beberapa jam sebelum dijadual berlepas dari Abu Dhabi, sekeping foto muncul di media sosial menunjukkan Nawaz mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya, Begum Kulsoom Nawaz yang terlantar sakit kritikal akibat kanser di hospital di London.
Isterinya sejak sebulan lalu dilaporkan bergantung dengan alat bantuan pernafasan dan beberapa kali tidak sedarkan diri. – Agensi, 13 Julai, 2018.
Komen