INDONESIA menyekat akses berasaskan web kepada perkhidmatan mesej popular dan mengancam larangan penuh ke atas aplikasi itu atas alasan “kandungan keganasan”, kata kerajaan.
Kementerian Komunikasi Indonesia dalam satu kenyataan berkata “begitu banyak saluran dalam perkhidmatan (Telegram) mengandungi radikalisme dan keganasan ... galakan dan tip untuk memasang bom atau melancarkan serangan” yang menyebabkan sekatan dikenakan.
Larangan separa datang ketika negara mengalami rantaian serangan, termasuk yang dilakukan seorang lelaki yang dikatakan polis menjadi radikal setelah membaca bahan di Telegram.
Kerajaan Indonesia setakat ini menyekat akses kepada aplikasi melalui komputer, tetapi sedang bersedia untuk mengenakan larangan penuh.
“Kami kini menyediakan satu proses untuk menutup aplikasi Telegram sepenuhnya di seluruh Indonesia jika Telegram tidak menghasilkan prosedur operasi standard (SOP)untuk menangani kandungan yang melanggar undang-undang,” kata kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Pada Jun, penyerang “lone wolf” menikam dua pegawai polis di sebuah masjid. Polis berkata lelaki itu tidak mempunyai hubungan dengan kumpulan militan tetapi menjadi radikal melalui bahan bacaan di Telegram.
Telegram adalah aplikasi percuma direka khas Rusia yang membolehkan individu bertukar mesej, gambar dan video dalam kumpulan sehingga 5,000 orang. Ia menarik kira-kira 100 juta pengguna sejak dilancarkan pada 2013.
Aplikasi itu dikritik di Rusia selepas pengawas komunikasi negara mengancam untuk menyekat pada Jun, dengan mengatakan syarikat di sebalik perkhidmatan itu gagal mengemukakan butiran syarikat untuk pendaftaran.
Agensi keselamatan FSB Rusia juga mengatakan Telegram digunakan individu di sebalik pengeboman stesen metro Saint Petersburg pada April.
Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov berkata firma itu akan menyiasat tuduhan Indonesia.
“Kami tidak pernah menerima sebarang permintaan atau aduan daripada kerajaan Indonesia,” kata Durov di Twitter. - AFP, 15 Julai 2017
Komen